[VIDEO] Baru terima cahaya mata lelaki pertama, bapa 4 anak maut dalam perjalanan ke RXZ Fighter di Kuantan


  • Massa
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Mohamad Faizal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

SEORANG bapa kepada empat orang cahaya mata maut selepas terlibat kemalangan melibatkan tiga motosikal jenis Yamaha RX-Z di Kilometer 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di Kuala Terengganu, Terengganu pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, beralamat dari Kubang Kerian, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Dua lagi penunggang lain yang terlibat dalam kemalangan pada pukul 8.45 pagi itu turut parah dan dirawat di hospital.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, laporan awal mendapati ketiga-tiga penunggang itu dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju ke Kuantan, Pahang.

Dua lagi mangsa kemalangan turut berasal dari Kelantan iaitu Muhammad Arif Che Mahisan, 29, dan Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Muhammad Arif sedang bergerak di lorong kecemasan sebelum dilanggar dari arah belakang oleh motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal Muhammad Arif menggelungsur ke hadapan lalu melanggar motosikal yang ditunggang Muhammad Zarul Asyraf," katanya dalam laporan sama.

Azli berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, difahamkan, mangsa yang maut baru sahaja menerima kelahiran anak lelaki pertama bersama pasangannya baru-baru ini.

Perkara ini dikongsikan oleh warganet yang dipercayai merupakan kenalan kepada mangsa yang turut dikenali dengan panggilan Jaa.

Pada masa sama, berita mengenai pemergian tersebut juga dimaklumkan menerusi Group WhatsApp ibu bapa di sekolah anak mangsa.

"Ayah kawan sekelas anak saya, tadi cikgu maklum," ujar Noorashiqien Ishak.

"Anak bongsu lelaki umur 2 bulan. Tiga orang perempuan. Lama dia tunggu nak dapat anak lelaki. Haritu rezeki dapat anak lelaki. Gembira sangat dia, tapi umur Jaa (Faizal) tak panjang. Al-Fatihah," kongsi Muhd Fadhil Amir.

Difahamkan, program RXZ Fighter yang diadakan di Teluk Cempedak, Kuantan berlangsung selama dua hari bermula Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram