Amalan ‘bertapa’ seorang diri tiada kaitan mistik, ilmu silat banyak bergantung pada doa


  • Massa
  • Isnin, 28 Okt 2024

Tradisi silat yang seharusnya dijaga dan diwarisi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. — Gambar hiasan

SILAT merupakan seni bela diri tradisional yang berasal dari Asia Tenggara, khususnya di Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura.

Ia menggabungkan teknik pertahanan diri, gerakan seni, elemen spiritual, serta sering kali disertai dengan nilai-nilai budaya dan tradisi masyarakat.

Silat bukan hanya satu bentuk pertarungan, tetapi juga mencerminkan identiti dan warisan budaya masyarakat di sesebuah negara.

BACA LAGI: Anggur premium tumbuh di negara 4 musim hidup subur di Gopeng

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas fasilitator kongsi tip penting sebelum buat gimik macam UiTM Segamat

gambar 1

Silat antara seni pertahankan diri yang boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Gambar hiasan/Panorama Destination

Silat juga menjadi antara tradisi yang masih diamalkan dan giat dipromosikan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini.

Selain melaksanakan program dan pertandingan, terdapat juga pelbagai persatuan silat yang aktif dalam mengadakan bengkel atau kelas bagi memastikan pengetahuan serta kemahiran silat tidak terus hilang.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis silat yang masing-masing mempunyai ciri dan teknik tersendiri.

Antara jenis silat-silat terkenal adalah Silat Seni, Silat Olaharga, Silat Gayong, Silat Lincah, Silat Cekak, Silat Harimau, Silat Pusaka dan banyak lagi.

Silat juga sering dikaitkan dengan dunia mistik kerana ia melibatkan elemen spritual dan kepercayaan dalam sesuatu budaya.

Namun, menurut Presiden Warisan Kesenian Laksamana Malaysia (WAKALAM), Mohd Putra Ezra Ezuddin Zulkefli, 43, elemen mistik yang dikatakan itu bukanlah berkaitan dengan ajaran-ajaran sesat.

Mohd Putra berkata, meskipun seni silat itu memerlukan daya ketahanan tinggi daripada segi fizikalnya, ia juga menitikberatkan latihan kerohanian.

gambar 2

Amalan betapa di kawasan terpencil seperti hutan merupakan cara untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Gambar hiasan/Facebook

Katanya, tindakan ‘betapa’ di sesuatu kawasan seperti hutan atau gua yang kerap dikaitkan ketika menimbal atau mempelajari ilmu silat.

“Ilmu bertapaan itu sebenarnya adalah untuk melihat keindahan ciptaan ALLAH.

“Ia sebenarnya cara nak tengok kehidupan alam dan bercerita dan bercakap dengan sesuatu benda yang hidup seperti pokok dan haiwan.

“Jadi, kita dapat menjiwai dan bersatu dengan alam,” katanya kepada Majoriti.

Mohd Putra menjelaskan bahawa maksud bersatu dengan alam itu bukanlah untuk berkomunikasi dengan jin atau makhluk halus.

Menurutnya, ia adalah antara kaedah yang dapat dilakukan sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran pada ciptaan Tuhan.

“Ia lebih kepada untuk merasai keseronokan dan kebebasan serta menyedari betapa kerdilnya diri kita di dunia ini.

“Bila duduk seorang diri, kita datang seorang dan pulang ke rumah pun seorang.

“Saya pun pernah buat dan saya sedar bahawa kita hanya ada ALLAH,” katanya.

gambar last

Mohd Putra berharap agar masyarakat dapat mempelajari silat dengan ilmu dan niat yang betul.

Terlibat dalam dunia silat lebih 10 tahun, Mohd Putra berkata, maksud ‘betapa’ itu sendiri boleh digambarkan betapa sukarnya manusia untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

Kongsinya, ia sama seperti bertafakur iaitu mengambil masa sejenak berfikir tentang keperibadian diri sendiri.

Bukan itu sahaja, silat juga banyak bergantung pada bacaan doa dalam apa jua keadaan termasuk membuka bunga (langkah).

Justeru, dengan kesedaran dan sokongan yang berterusan, tradisi silat diharapkan dapat terus hidup dan dipertahankan serta menjadi simbol kekuatan dan kebanggaan rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram