Polis belum temui petunjuk baharu kehilangan Pamela Ling


  • 112
  • Ahad, 04 Mei 2025

Pamela (gambar kecil) didakwa diculik di Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM.

POLIS masih belum menemui petunjuk baharu setakat Ahad mengenai keberadaan wanita berusia 42 tahun yang hilang dipercayai diculik ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dan usaha mengesan wanita tersebut masih diteruskan.

"Siasatan masih berjalan dan seramai 12 orang sudah dirakam percakapan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Media pada Sabtu melaporkan bahawa polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berhubung wanita terbabit yang hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya pada awal bulan lalu.

Terdahulu, Rusdi berkata, wanita yang dikenali sebagai  Datin Seri Pamela Ling Yueh dijadualkan hadir memberi keterangan di SPRM mengenai satu siasatan yang sedang dijalankan dan ketidakhadirannya disahkan oleh pihak SPRM.

Jelasnya, itu bukan merupakan kali pertama Pamela hadir ke SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat oleh suruhanjaya terbabit.

Sementara itu, keluarga mangsa menerusi kenyataan media memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Adik mangsa, Simon Ling Wan Siong berkata, kakaknya telah menghantar pesanan WhatsApp kepada peguamnya pada 1.57 tengah hari mengatakan bahawa wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dan dijangka tiba pada 2.08 petang dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.

Pamela merupakan isteri kepada ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.

Thomas merupakan pengasas Kumpulan JoinLand, iaitu syarikat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor perniagaan di dalam dan luar negara. 

Menurut laporan media tempatan, Kumpulan JoinLand terlibat dalam pelbagai bidang termasuk pengedaran makanan sejuk beku, pelaburan modal teroka, pembangunan hartanah, gudang ikatan awam, serta pengurusan hutan dan pertanian.

Syarikat itu juga dilaporkan mempunyai kepentingan di Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China dan New Zealand.

Selain itu, syarikat berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan urus niaga tanah di sebuah pulau di daerah Kudat, Sabah, namun dilaporkan menarik diri daripada projek pembangunan agro yang kontroversi di Pulau Balambangan baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram