
PENUMPANG sebuah penerbangan di Bolivia berdepan detik ngeri selepas pesawat dinaiki terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan paya huta hujan Amazon, Bolivia yang terkenal dengan haiwan liar menakutkan termasuk buaya dan ular anaconda.
Insiden pada Khamis itu melibatkan sebuah pesawat berenjin tunggal yang sedang dalam perjalanan dari kota Baure menuju ke Trinidad.
Penumpang terdiri daripada juruterbang yang dikenali sebagai Andres Velarde, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Insiden pesawat terhempas bagaimanapun itu menyaksikan kesemua penumpang terselamat.
Dilaporkan, pesawat berkenaan mengalami masalah enjin ketika dalam penerbangan sehingga memaksanya melakukan pendaratan cemas di tengah-tengah kawasan paya terpencil.
"Saya mencari tempat terbuka untuk mendarat, tetapi satu-satunya pilihan adalah paya, dekat lagun," kata Velarde dari katik hospitalnya, seperti dilaporkan AFP pada Sabtu.
Kumpulan penumpang penerbangan tersebut dilaporkan berdepan ancaman serangan buaya ketika terperangkap di lokasi pendaratan cemas. — Gambar hiasan/Agensi
Selepas pendaratan cemas terbabit, lima penumpang itu segera menaiki badan pesawat untuk mengelak terkena air di samping ancaman haiwan liar yang berada di sekitar.
"Kami dikelilingi oleh buaya, ada yang hanya tiga meter dari kami. Kami juga melihat anaconda," kata Andres.
Menurutnya, bau bahan api yang bocor dari tangki pesawat berkemungkinan membantu menghalau haiwan liar pemangsa.
Selama lebih daripada sehari, mereka tidak mempunyai akses kepada makanan dan air bersih dan hanya mendapat sedikit bekalan daripada tepung ubi kayu yang dibawa oleh salah seorang penumpang.
“Kami tidak boleh minum air, dan kami tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana buaya,” tambahnya.
Nasib mereka berubah apabila seorang nelayan tempatan secara tidak sengaja menjumpai mereka dan segera melaporkan kepada pasukan penyelamat.
Ketua pusat operasi kecemasan wilayah Beni, Wilson Avila berkata, semua penumpang ditemui dalam keadaan baik.
Wilayah Beni mempunyai akses jalan yang terhad dengan penduduk tempatan sering bergantung kepada pengangkutan udara sebagai pengangkutan utama mereka.
Ketika ini, kelima-lima mangsa masih menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut di hospital. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram