
WALAUPUN berbilion orang menggunakan produknya setiap hari, nama Zhou Qunfei masih belum dikenali ramai.
Pengasas syarikat pengeluar skrin sentuh terkemuka dunia, Lens Technology itu mencatat sejarah sebagai wanita paling kaya di dunia dalam industri teknologi sekali gus membina empayar kekayaannya sendiri.
Berasal dari latar belakang keluarga miskin dan dibesarkan dalam serba kekurangan, kisah hidup wanita kelahiran wilayah Hunan, China itu membuktikan bahawa ketabahan dan kesungguhan mampu menundukkan segala cabaran kehidupan.
Kerjayanya bermula sebagai pekerja kilang kaca pada usia 16 tahun, namun ketika berumur 22 tahun, beliau mengambil risiko besar dengan menggunakan simpanan hidup sebanyak AS$3,000 (RM13,000) untuk memulakan bengkel kecil di Hunan, yang akhirnya berkembang menjadi Lens Technology.
Ketika krisis kewangan Asia pada 1997, ramai pelanggan enggan melunaskan hutang, tetapi Qunfei menggunakan pendekatan kreatif dengan menerima peralatan kilang sebagai ganti bayaran.
Qunfei ketika di dalam pejabatnya di Lens Technology. — Lens Technology
Tindakan tersebut membantu beliau membina salah satu kemudahan pemprosesan kaca terbesar di China.
Strategi itu membolehkannya memasuki pasaran skrin telefon bimbit awal 2000-an, yang kemudiannya menjadi pemacu utama kejayaan perniagaannya.
Kini, beliau mengemudi syarikat yang menjadi pembekal utama skrin sentuh kepada jenama terkemuka dunia seperti Apple, Samsung dan Huawei serta menggaji lebih 80,000 pekerja di seluruh China.
Ternak haiwan
Dilahirkan pada 1970 di Xiangxiang, Hunan, Qunfei membesar dalam suasana penuh kepayahan.
Menurut laporan The New York Times, beliau kehilangan ibunya ketika berusia lima tahun manakala bapanya pula separa buta dan kehilangan jari akibat kemalangan industri.
Demi menyara keluarga, Qunfei yang ketika itu baru berusia lima tahun turut membantu menyara keluarga dengan menternak khinzir dan itik untuk dijual.
Pada usia 16 tahun, beliau berhijrah ke Guangdong untuk mencari peluang hidup lebih baik.
Di Shenzhen, beliau bekerja pada siang hari dan menyambung pelajaran pada waktu malam.
Sijil dalam pelbagai bidang termasuk komputer, perakaunan dan pengurusan kastam menjadi bekalan ilmu untuk wanita itu memulakan langkah besar dalam perniagaan.
Qunfei ketika bertugas sebagai pengurus kilang di Shenzhen pada 1991 sehingga 1992. — Lens Technology
Disabotaj
Pada 1993, Qunfei menubuhkan syarikat sendiri yang pada mulanya menghasilkan kanta jam tangan.
Kejayaan pertamanya hadir apabila menerima tempahan besar daripada syarikat elektronik China, TCL, diikuti oleh Motorola yang membuka peluang kepadanya dalam penghasilan skrin sentuh.
Namun, laluan menuju kejayaan tidak mudah bagi usahawan tersebut apabila perniagaannya disabotaj pesaing.
Mereka bersekongkol dengan pembekal untuk menyekat bekalan bahan mentah, memaksanya menjual aset peribadi untuk kelangsungan syarikat.
Pada saat genting, beliau hampir mengambil keputusan tragis, namun terselamat selepas menerima panggilan daripada anaknya, satu detik yang mengubah segalanya.
Dengan bantuan Motorola, Qunfei bangkit semula dan meraih lebih banyak kepercayaan daripada jenama utama termasuk Nokia, HTC dan Apple.
Pada 2007, kerjasama dengan Apple melonjakkan Lens Technology sebagai peneraju utama dalam industri skrin sentuh global.
Qunfei bukan jenis ketua yang hanya memerintah dari bilik pejabat. — Lens Technology
'Turun padang'
Sementara itu, Pengurus Besar Lens Technology, James Zhao berkata, Qunfei bukan jenis ketua yang hanya memerintah dari bilik pejabat.
Beliau tidak keberatan untuk mencelupkan jari ke dalam dulang air bagi menguji suhu yang sesuai atau menerangkan secara terperinci bagaimana kaca dipanaskan dalam rendaman ion kalium.
Pengalamannya yang luas di kilang memberinya pemahaman mendalam tentang setiap aspek operasi.
“Kadang-kadang beliau duduk dan bekerja sebagai operator untuk mengenal pasti masalah dalam proses.
"Jika ada masalah, beliau akan tanya, kenapa awak tak nampak ini?” katanya.
Simbol inspirasi
Pada Mac 2015, Lens Technology disenaraikan di pasaran saham dengan nilai mencecah AS$10 bilion (RM43 bilion).
Pada Mac 2017, Qunfei dinobatkan oleh Forbes sebagai wanita terkaya yang membina kekayaan dengan usaha sendiri, dengan anggaran nilai bersih sebanyak $9.8 bilion (RM42,000), mengatasi 56 bilionair wanita lain.
Meskipun berjaya mengubah nasib hidupnya daripada buruh kilang kepada tokoh teknologi dunia, Qunfei kekal merendah diri dan masih bekerja bersama para pekerjanya.
Kisah hidupnya menjadi simbol inspirasi kepada wanita dan golongan muda di seluruh dunia bahawa kejayaan adalah milik mereka yang tidak pernah berhenti berusaha. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram