
SEORANG wanita berusia 53 tahun dari Puncak Alam, Selangor dilaporkan hilang sejak Selasa selepas dihantar untuk pergi ke Hospital Selayang, bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Berita mengenai kehilangan tersebut dikongsikan oleh anaknya, Nor Haryanti Ramli di grup Facebook, Saujana Utama, Sungai Buloh pada petang Rabu.
Menurut hantaran tersebut, usaha untuk menghubungi ibunya, Nor Azian Osman gagal dengan perkhidmatan aplikasi WhatsApp milik ibunya kali terakhir dilihat aktif pada pukul 4 petang Selasa.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Ujarnya, semakan dibuat di hospital turut mendapati ibunya direkod sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dijadualkan namun tidak dimasukkan ke dalam mana-mana wad di pusat perubataan berkenaan.
"Mencari ibu. Semalam (Selasa) beliau ada appointment di Hospital Selayang dan hingga sekarang belum pulang ke rumah.
"Last seen WhatsApp pukul 4 petang semalam dan tidak dapat dihubungi.
"Dah semak dengan pihak hospital, tiada record warded semalam," tulisnya pada hantaran tersebut.
Nor Azian dijadual melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik pakar di Hospital Selayang pada Selasa.
Ketika dihubungi, Nor Haryanti memaklumkan ibunya yang juga seorang suri rumah masih belum ditemui setakat pagi Khamis.
Dalam pada itu, Nor Haryanti berkata, pada pagi hari kejadian, bapanya menghantar ibunya ke perhentian bas berdekatan rumah mereka pada sekitar pukul 6.30 pagi untuk menaiki bas ke Stesen MRT Sungai Buloh.
"Biasa memang saya atau ayah saya yang hantar (ke hospital). Tapi sebab mak saya ini dah tahu macam mana nak naik pengangkutan awam. Jadi dia pergi sendiri.
"Sebelum ini bila dia kena pergi HKL (Hospital Kuala Lumpur) pun memang dia pergi sendiri," ujarnya kepada Majoriti.
Sementara itu, Nor Haryanti berkata, setakat ini pihak polis masih belum memberikan sebarang kemas kini berhubung keberadaan ibunya.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, Nor Haryanti berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat satu transaksi terakhir daripada akaun bank ibunya yang dibuat di Kajang pada Selasa, iaitu hari ibunya hilang.
"Ketika ini saya cuma harap mak saya balik dengan keadaan selamat. Saya risau mungkin orang tinggalkan dia dekat mana-mana," katanya yang memaklumkan ini kejadian pertama emaknya menghilang tanpa khabar berita.
Dalam perkembangan terbaharu kira-kira pukul 4.46 petang Khamis, Haryanti memaklumkan lokasi terkhirnya dibunya dikesan di Transit Aliran Massa (MRT) Kajang dekat Kajang Selangor.
"Lokasi mak saya yang terakhir di Stesen MRT/KTM Kajang.
"Berdasarkan transaksi bank dan jumlah yang keluar adalah tiket ke Tampin, Negeri Sembilan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Dalam pada itu, pentadbir laman Facebook Hospital Selayang turut meninggalkan komen akan membantu mengesan ibu mangsa.
"Salam Sejahtera, boleh mesej kepada pihak hospital mengenai maklumat ibu seperti Nama Penuh, No. Kad Pengenalan dan No telefon untuk dihubungi untuk pihak hospital bantu juga.
"Atau emel di [email protected]," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram