
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan majlis makan malam bersempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping di Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu.
Jamuan itu merupakan acara menyusuli pertemuan antara Anwar dan Jinping, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dua hala selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Di dalam majlis bersejarah itu, kedua-dua pemimpin negara tersebut turut memberikan ucapan yang antara lain menyentuh mengenai keakraban hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Dalam pada itu, acara berkenaan juga diserikan dengan persembahan istimewa daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Lebih mengagumkan, Siti yang tampil anggun dengan busana songket berwarna biru turut mendendangkan lagu berbahasa Mandarin popular bertajuk The Moon Represents My Heart nyanyian asal Teresa Teng sebagai tanda meraikan tetamu negara.
Video mengenai persembahan tersebut dimuat naik oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata netizen berpandangan adalah lebih sesuai sekiranya kerajaan menjemput penyanyi negara, Shila Hamzah yang diakui sudah popular di China.
Menurut mereka, Shila juga dipercayai mempunyai kemahiran bertutur dan menyanyi yang cukup baik dalam bahasa China.
Bagaimanapun, segelintir warganet berpandangan adalah tidak salah untuk memilih Siti atau lebih mesra dipanggil Tokti, memandangkan statusnya sebagai Biduanita Negara.
Apatah lagi, pentas tersebut dilihat merupakan ruang yang cukup baik untuk menonjolkan kekayaan bakat seni yang dimiliki negara.
Di samping itu, difahamkan, Shila kini tidak berada di dalam negara kerana mempunyai komitmen kerja di Beijing China.
Perkara itu turut dikongsikan oleh penyanyi tersebut di hantaran Instagramnya pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram