[VIDEO] 'Anakku Sazali' versi Batam, enggan anak dicekup polis walau diterajang berkali-kali sebab tak dibelikan motor


  • Benua
  • Khamis, 17 Apr 2025

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan remaja berkenaan yang bersikap kurang ajar dengan menendang bapanya kerana kemahuan untuk membeli motosikal tidak dipenuhi.

PLATFORM media sosial di Indonesia heboh susulan tular satu video memaparkan tindakan ganas seorang remaja terhadap bapa kandungnya termasuk menerajang gara-gara kemahuannya untuk memiliki motosikal tidak dituruti.

Lebih mengejutkan, dalam insiden yang berlaku di kawasan Dapur 12, Sagulung, Kota Batam itu, remaja yang dikenali sebagai Ikbal terbabit turut mencabar bapanya untuk bergaduh.

Difahamkan, perbuatan memilukan berkenaan yang mirip seperti babak dalam filem klasik arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Anakku Sazali itu bukan kali pertama berlaku.

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

Menerusi video tersebut, ibu kepada remaja tersebut yang dikenali sebagai Yanti mendedahkan anaknya sering mempamerkan tingkah laku kurang ajar termasuk sering memaksa memberikannya wang.

Malah, jika tidak dituruti, Ikbal didakwa tidak teragak-agak untuk mencuri atau memukul ibunya sendiri.

"Kerap sekali, bukan sekali dua. Anak ini memang sukar dimaafkan, sudah sejak bulan puasa lalu (berperilaku sedemikian)," kata Yanti dalam video yang tersebar luas di media sosial sejak Selasa.

Mengulas mengenai video tular itu, Polis Sagulung dilapor segera tampil ke lokasi untuk menenangkan situasi termasuk melakukan soal siasat.

"Ya, kejadian itu berlaku di kawasan Sagulung. Kita sudah menangkap suspek," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Barelang, Asisten Komisioner Debby Tri Andrestian kepada batamnews.co.id.

Bagaimanapun, suspek dalam kes tersebut masih di bawah umur.

Pada masa sama, ibu bapa remaja berkenaan juga meminta anaknya untuk dibawa pulang ke rumah.

Ekoran daripada itu, polis memutuskan untuk menyerahkan semula Ikbal kepada keluarganya dengan syarat dia diberi bimbingan serius.

"Pelaku itu masih di bawah umur. Ibu bapanya meminta supaya kanak-kanak itu diasuh terus oleh mereka. Jadi, petugas menyerahkannya semula untuk diasuh di rumah dengan harapan dia tidak mengulangi perbuatannya itu pada masa akan datang," jelas Debby. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram