[VIDEO] Niat beli jambu tak kesampaian, isteri imam maut kena langgar pemandu lori positif dadah ketika lintas jalan di Kuantan


  • 112
  • Rabu, 30 Apr 2025

Keadaan dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa seorang wanita di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak, Kuantan pada Selasa. — Polis Trafik Kuantan

NIAT sepasang suami isteri membeli jambu di seberang jalan berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas dilanggar sebuah lori dipandu lelaki positif dadah dekat Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada Selasa.

Mangsa, Umi Khaltom Mohamad Danyan, 41 dari Paka, Terengganu meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota di Kuantan pada pukul 10.20 malam hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan keluarga seorang imam itu berlaku kira-kira pukul 4 petang.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Umi Khaltom meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota di Kuantan pada pukul 10.20 malam. — Facebook

“Siasatan awal mendapati, imam yang memandu kereta Proton Saga itu bersama isteri dan tiga anak mereka dalam perjalanan pulang ke Paka selepas mengambil anak lelakinya di sebuah institusi pengajian tinggi di sini.

“Setibanya di tempat kejadian, beliau memberhentikan kereta di bahu jalan untuk membeli buah jambu di seberang jalan. Ketika pasangan suami isteri itu hendak melintas jalan, tiba-tiba sebuah lori dari arah sama dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar mereka, sebelum merempuh keretanya yang berada di bahu kiri jalan yang ketika itu tiga anak pasangan itu berada di dalamnya.

“Akibat kemalangan itu, lima sekeluarga itu mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan UIAM untuk menerima rawatan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Umi Khaltom disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah pada pukul 10.20 malam Selasa.

Wan Mohd Zahari berkata, suami Kaltom yang berusia 45 tahun dan juga seorang imam masjid bersama dua anak lelaki mereka berusia enam dan 20 tahun kini dirawat di zon kuning hospital itu.

“Seorang lagi anak perempuan mangsa berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi direman sehingga 5 Mei ini selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram