
APABILA bercakap tentang ubah suai rumah, ramai pemilik kediaman sering mengabaikan bahagian tempat letak kenderaan atau car porch.
Mereka keliru memilih reka bentuk yang sesuai, dan akhirnya hanya membiarkan permukaan car porch dengan simen kosong tanpa sebarang sentuhan estetik.
Hakikatnya, simen kosong kini dianggap ketinggalan zaman, bukan sahaja dari sudut penampilan, malah dari aspek ketahanan dan keselamatan juga.
BACA LAGI: Terapi semula jadi, lampu garam hiasan efektif bantu redakan tekanan emosi
BACA LAGI: Tukar kepada hipoalergenik, karpet berbulu tebal undang risiko kesihatan jangka panjang
Trend terkini menunjukkan lantai konkrit imprint semakin menjadi pilihan utama dalam membina atau menaik taraf car porch.
Dengan kemasan bercorak dan tekstur menarik, konkrit imprint menawarkan transformasi yang bukan sahaja menambah nilai estetika tetapi juga meningkatkan ketahanan permukaan.
Proses itu menggunakan acuan khas untuk mencetak corak ke atas konkrit, menghasilkan rupa bentuk menyerupai batu semula jadi, bata, kayu mahupun geometri moden.
Konkrit imprint bukan sahaja kelihatan eksklusif, malah tahan terhadap pelbagai keadaan cuaca dan memerlukan penyelenggaraan yang minimum.
Pilihan corak dan warna yang pelbagai membolehkan pemilik rumah menyesuaikannya dengan konsep kediaman masing-masing.
Daya tarikan utama konkrit imprint adalah keupayaannya untuk memberikan penampilan mewah setanding kawasan perumahan elit, tanpa perlu mengeluarkan kos yang terlalu tinggi.
Selain itu, pilihan corak dan warna yang pelbagai membolehkan pemilik rumah menyesuaikannya dengan konsep kediaman masing-masing, sama ada moden, klasik atau kontemporari.
Faktor keselamatan juga diberi perhatian, apabila permukaan konkrit imprint boleh dilengkapi dengan kemasan anti-gelincir untuk mengelakkan kemalangan, terutamanya ketika hujan.
Dalam memilih konkrit imprint, pemilik rumah perlu lebih berhati-hati untuk mendapatkan hasil kerja berkualiti.
Adalah penting untuk memilih kontraktor berpengalaman bagi melihat hasil kerja sebenar dan memastikan bahan kimia serta sealant (bahan yang digunakan untuk halang cecair daripada masuk melalui celah-celah bahan) yang digunakan berkualiti bagi menjamin ketahanan jangka panjang.
Konkrit imprint bukan sahaja menjadi penyelesaian praktikal, tetapi juga pilihan bijak untuk sesiapa yang ingin memastikan car porch mereka kelihatan kemas, eksklusif dan tahan lama.
Dari sudut kos, pemasangan konkrit imprint biasanya berada dalam lingkungan RM18 hingga RM28 kaki persegi, bergantung kepada corak, warna, jenis kemasan dan tahap kesukaran kerja.
Harga itu mungkin kelihatan sedikit tinggi berbanding simen biasa atau jubin biasa, namun ia sepadan dengan kualiti dan kelebihan yang ditawarkan.
Aspek penyelenggaraan pula, konkrit imprint jauh lebih mudah dijaga berbanding car porch jubin atau simen biasa.
Konkrit imprint hanya memerlukan cucian berkala dan jika perlu, lapisan semula sealant selepas beberapa tahun untuk mengekalkan kilat dan ketahanannya.
Tambahan pula, konkrit imprint tidak memerlukan penukaran atau pembaikan dalam masa singkat, menjadikannya pelaburan berbaloi dalam jangka masa panjang.
Kini, dengan kehadiran teknologi dan pilihan moden seperti konkrit imprint, era car porch kosong dan hambar sudah berakhir.
Car porch yang cantik bukan sahaja mencerminkan cita rasa pemilik, malah meningkatkan nilai keseluruhan rumah untuk jangka masa panjang.
Secara keseluruhan, walaupun kos pemasangan tiles konkrit imprint sedikit lebih tinggi pada awalnya, kebaikan dari segi ketahanan, kecantikan, keselamatan dan nilai hartanah menjadikannya pilihan yang sangat berbaloi.
Untuk mereka yang ingin mencipta first impression yang hebat sejak bermula dari hadapan rumah, konkrit imprint sememangnya pilihan moden yang tidak mengecewakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram