
PASANGAN suami isteri cedera parah manakala bayinya berusia dua bulan meningggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Batu Gajah, Merlimau, Melaka pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa, Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim meninggal dunia selepas lebih dua jam dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.
Beliau berkata, bapanya, Shahrul Asraf Naim Khasiran, 35, dan ibu, Nurulnadiah Balqis Abdullah, 22, masing-masing luka di dahi dan di kepala.
BACA LAGI: SPRM ada senarai individu termasuk pegawai bersara, terlibat ceroboh tanah Raub
BACA LAGI: Rupiah jatuh mendadak, peluang besar rakyat Malaysia melancong ke Indonesia
Kereta dinaiki tiga beranak itu merempuh belakang lori yang sedang membuat pusingan U. — IPD Jasin
"Kemalangan berlaku pukul 2.15 petang apabila kereta Toyota Vios dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ menuju Batu Gajah.
"Setiba di lokasi, lori dipandu lelaki berusia 33 tahun yang dari arah sama masuk ke lorong kanan untuk pusingan U dan dilanggar dari belakang oleh kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pemandu lori terbabit tidak cedera ketika kejadian.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Izzuwan Jafri di talian 019-7242479 atau kaunter aduan trafik IPD Jasin 06-5292222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram