Dilapor ambil cuti, tidak hadir mesyuarat cetus spekulasi Rafizi letak jawatan Kabinet


  • Politik
  • Rabu, 30 Apr 2025

Kabinet bermesyuarat pada Rabu. — Facebook/Zahid Hamidi

SEMUA perhatian kini tertumpu kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas beliau dilaporkan bercuti di tengah-tengah spekulasi peletakan jawatannya daripada Kabinet.

Spekulasi itu timbul berikutan keputusan pemilihan PKR baru-baru ini yang menyaksikan kekalahan sebahagian pemimpin dipercayai daripada kemnya.

Rafizi juga dilapor tidak hadir ke mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR turut menghantar ciapan di X pada Isnin dengan satu mesej samar yang turut disertakan tag kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Berbeza dengan @niknazmi, saya jenis yang hanya muncul ketika gembira,” tulisnya.

Nik Nazmi merupakan antara pemimpin parti itu yang tewas selepas kehilangan jawatan Ketua Bahagian PKR Setiawangsa kepada pengarah merangkap pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

Minggu lalu, Rafizi menganjurkan Rumah Terbuka di kawasannya di Pandan.

Sebelum ini, sebuah portal yang memetik seorang menteri berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan Kabinet pada Rabu bahawa Rafizi telah mengambil cuti selama beberapa hari.

Menteri itu, yang enggan namanya didedahkan, juga berkata, sebarang isu peletakan jawatan dan menyifatkan spekulasi terbabit sebagai palsu.

The Star kini turut cuba menghubungi Rafizi berhubung perkara tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram