
PENYANYI lagu Vampire, Olivia Rodrigo, tampil menghadiri acara Planned Parenthood Spring Into Action Gala pada Khamis lepas di New York, Amerika Syarikat (AS) dengan mengenakan gaun putih dari jenama mewah Gucci.
Olivia tampil anggun dalam gaun putih daripada koleksi pra-musim luruh 2025 Gucci, sekali gus mempamerkan sisinya yang lebih gemar memilih rekaan minimalis tetapi elegan.
Persalinan tersebut menampilkan potongan yang mengikut bentuk badan dengan skirt lurus dan belahan tinggi di sebelah kiri.
BACA LAGI: Tandas 'Instagrammable' cantik berhias, trend 'toiletscaping' terus dipopularkan pempengaruh deko
BACA LAGI: Jangan buang pasu lama! Transformasi kreatif bergaya 'rustic', suntik kesegaran pada ruang kediaman
Bahagian atas gaun pula mempunyai dua tali halus yang dihubungkan dengan aksesori berbentuk horsebit perak, menambahkan elemen kilauan pada keseluruhan gaya.
Olivia turut memadankan gaun itu dengan barang kemas perak berkilauan serta sandal bertumit dalam rona metalik.
Motif horsebit menjadi identiti Gucci. Ia sering digunakan pada beg tangan, kasut loafers dan rekaan lain.
Selain menjadi lambang jenama, horsebit juga membawa maksud 'kawalan', satu tema penting yang disentuh Olivia dalam ucapannya ketika menerima anugerah Catalyst of Change malam itu.
“Kita hidup dalam dunia yang mempolitikkan tubuh badan wanita dan menggunakan ideologi berbahaya untuk menafikan keselamatan serta hak penjagaan kesihatan.
“Saya kecewa melihat undang-undang yang menindas dan dasar lapuk, ada gadis-gadis yang mungkin tidak dapat mengejar impian seperti yang saya lakukan," kata Olivia dalam ucapannya.
Olivia menutup ucapannya dengan mesej penuh bermakna.
“Harapan terbesar saya ialah, melalui organisasi seperti Planned Parenthood dan tindakan rakyat biasa, tiada wanita perlu mengorbankan impian, kesihatan atau hak kemanusiaan mereka hanya kerana undang-undang yang menyekat atau kekurangan sumber," tegasnya.
Isu-isu terlibat memang sudah lama menjadi sebahagian daripada perjuangan Olivia.
Pada tahun 2024, semasa memulakan Guts World Tour, Olivia turut melancarkan inisiatif amal Fund 4 Good yang menyokong pertubuhan bukan keuntungan berkaitan pendidikan kanak-kanak perempuan, hak reproduktif dan usaha menentang keganasan berasaskan gender.
Jelas sekali, Olivia terus menggunakan pengaruhnya untuk memperjuangkan hak orang lain dan sama ada disengajakan atau tidak, penampilannya pada malam itu seolah-olah membawa satu mesej menggambarkan beliau sedang memegang tali pengikat kuda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram