Pernah malu hasilkan beg tangan, Miuccia Prada kini kuasai empayar jenama mewah, miliki kekayaan lebih RM25 billion


  • Relaks
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Miuccia kini merupakan antara wanita paling kaya dan berpengaruh di dunia. — Agensi

BERGELAR pelajar dalam zaman tidak menentu pada 1968, Miuccia Prada turun ke jalanan di Milan, Itali dengan mengenakan sut rekaan Yves Saint Laurent bagi menyertai demonstrasi memperjuangkan hak wanita.

Hari ini, wanita berusia 76 tahun itu kini mengetuai empayar barangan mewah yang bernilai lebih 5 bilion euro (kira-kira RM25.1 bilion) setahun dan sedang melebarkan lagi pengaruhnya melalui pengambilalihan jenama pesaing, Versace.

Sebagai pereka avant-garde yang terkenal dengan gaya minimalis namun bersifat radikal, Miuccia membentuk dunia fesyen Itali dengan sentuhan intelektual dan elegan selama beberapa dekad.

BACA LAGI: Tak lari, sebaliknya 2 beradik perempuan selamatkan pelancong ketika serangan pengganas di Pahalgam

BACA LAGI: Elak stres, isteri zaman moden lebih utamakan karier berbanding bergelar suri rumah

Butik Prada di The Exchange TRX, Kuala Lumpur yang dibuka pada Mei tahun lalu.

Semasa muda, beliau bercita-cita untuk menyertai dunia politik dan pernah mengikuti kelas pantomim dan teater.

Namun pada awal tahun 1970-an, beliau meninggalkan cita-cita itu bagi memberi tumpuan kepada butik barangan kulit keluarga bersama ibunya, Luisa.

Butik berkenaan diasaskan pada tahun 1913 oleh datuknya, Mario Prada.

“Pada tahun 1970-an, sebagai wanita berhaluan kiri, saya rasa malu kerana membuat beg tangan dan saya juga malu sebab saya sangat menyukai pekerjaan itu,” katanya dalam satu temu bual pada tahun 2022.

Dilahirkan di Milan pada 10 Mei 1948 dalam keluarga kelas pertengahan, Miuccia kini merupakan antara wanita paling kaya dan berpengaruh di dunia, dengan kekayaan dianggarkan sekitar AS$5.8 bilion (RM25.6 bilion) menurut majalah Forbes.

Berbekalkan ijazah dalam Sains Politik dan aktif dalam gerakan feminis serta komunisme, beliau akhirnya menumpukan sepenuh tenaga untuk menghidupkan semula perniagaan keluarga yang merosot selepas kematian datuknya pada tahun 1958.

Pertemuan Miuccia dan suaminya menjadi detik permulaan kebangkitannya dalam dunia fesyen.

Wanita dengan cita-cita luar biasa

Pada tahun 1977, Miuccia bertemu dengan seorang pengusaha barangan kulit dari Tuscany, Patrizio Bertelli di sebuah pameran di Milan.

Pertemuan itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.

Patrizio membantu Miuccia memulihkan kewangan butik tersebut dan setahun kemudian, Miuccia mengambil alih sepenuhnya perniagaan berkenaan.

Sembilan tahun kemudian, mereka berkahwin.

“Suami adalah individu yang mahu lakukan sesuatu yang luar biasa. Saya pula bukanlah seorang yang bercita-cita besar. Dia jawab: 'Kamu sebenarnya manusia penuh cita-cita dan ternyata dia betul,” kata Miuccia.

Itulah detik permulaan kepada kebangkitannya dalam dunia fesyen.

Awal tahun 1980-an, Miuccia mencipta kelainan apabila menghasilkan koleksi beg nilon hitam dengan kesan berkilat seperti sutera yang kemudiannya menjadi kegilaan ramai.

Empat dekad kemudian, beliau terus memperjuangkan penggunaan nilon yang diperbuat daripada plastik kitar semula yang dikutip dari lautan.

Jenama Prada mula berkembang pesat dengan butik-butik dibuka di New York, Madrid, London, Paris dan Tokyo.

Namun, pertunjukan pertama pakaian wanita rekaan Miuccia pada tahun 1988 di Milan yang berkonsepkan warna hitam dan putih tidak diterima dengan baik kerana dianggap terlalu ringkas dan suram.

Tetapi gaya minimalis dan mewah ciptaannya, dengan potongan kemas serta warna-warna malap, akhirnya berjaya menawan hati peminat fesyen di seluruh dunia.  — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram