[VIDEO] Tular tergelincir di selekoh Bentong, polis cari 2 penunggang 'superbike' terbabit kemalangan


  • 112
  • Isnin, 28 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan kemalangan membabitkan beberapa penunggang motosikal berkuasa tinggi (bulatan merah) di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong pada Ahad.

POLIS sedang mengesan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit kemalangan di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong, Pahang seperti tular di media sosial sejak Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi satu minit 20 saat menunjukkan kemalangan membabitkan tiga motosikal di kawasan terbabit

Katanya, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku pada pukul 9.45 pagi Ahad.

BACA LAGI: Mahu terus bantu PKS demi realisasi visi 'Satu Rumah, Satu Usahawan', Ejen2u kini hampiri nilai transaksi RM1 bilion

BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?

"Penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum tergelincir dan terbabas ke kiri jalan.

“Seorang penunggang terbabit kemalangan itu berjaya dikesan polis dan mengalami kecederaan di kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaiham berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, dua lagi penunggang belum dapat dihubungi dan pihaknya meminta mereka tampil memberi kerjasama.

Zaiham turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Terdahulu, tular video memaparkan kemalangan membabitkan beberapa penunggang motosikal berkuasa tinggi di satu selekoh di lebuh raya.

Klip berkenaan dirakam oleh kamera yang dipakai oleh salah seorang ahli konvoi motosikal terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram