
SATU kemalangan ngeri berlaku di sebuah tapak pembinaan di Rawang, Selangor pada Khamis meragut nyawa seorang pekerja warga asing selepas dia ditimpa batang cerucuk konkrit terlucut daripada pencangkut ketika menjalankan kerja.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada 8.40 pagi, ketika mangsa yang bertugas sebagai pengendali jentera cerucuk itu sedang menjalankan kerja-kerja menegakkan batang cerucuk menggunakan jentera khas dengan bantuan seorang rakan sekerja dan diselia seorang penyelia projek.
BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?
"Ketika proses menarik dan menegakkan cerucuk, satu cerucuk yang diangkat terlucut daripada pencangkut dan jatuh mengenai kabin jentera, menyebabkan mangsa panik dan melompat keluar. Malangnya, mangsa ditimpa cerucuk yang jatuh dan mengalami kecederaan parah," katanya.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Susulan kejadian itu, JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di lokasi sehingga siasatan selesai dan Notis Larangan bagi menghentikan aktiviti pemasangan cerucuk.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan itu," kata kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 terhadap majikan sekiranya didapati bersalah.
Tindakan perundangan juga boleh dikenakan terhadap majikan sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerja.
JKKP turut menegaskan kejadian tersebut boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko secara komprehensif mengikut garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram