
LELAKI yang menikam seorang peminta sedekah hingga mati dalam kejadian di depan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor pada Khamis merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) lembam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan pada Jumaat,
Beliau bagaimanapun berkata, mangsa kejadian itu tidak memiliki kad OKU, namun mengalami kecederaan kaki kanan akibat kemalangan tiga tahun lalu dan menggunakan alat ortopedik jenis ‘Ilizarov’.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom
Ujarnya lagi, mangsa mempunyai isteri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal di Taman Sentosa.
“Permohonan reman terhadap suspek dijalankan wad pemerhatian Hospital Shah Alam di hadapan Majistret Nur Azureen Zainalkefli pada pukul 3.15 petang tadi (Jumaat).
“Majistret kemudian membenarkan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Mei depan dan suspek dimasukkan ke wad pemerhatian kerana mengalami sawan.
“Suspek juga ada kad OKU lembam,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan mendapati mangsa lelaki tempatan berusia 40 tahun adalah peminta sedekah di sekitar kawasan bank itu, manakala suspek yang juga warga tempatan turut ingin meminta sedekah di lokasi sama.
Media pada Khamis melaporkan seorang peminta sedekah bertindak menikam peminta sedekah lain sehingga mati dipercayai akibat berebut kawasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram