Tak pulang rumah lepas rempuh pasangan suami isteri, polis Melaka buru pemandu Triton milik pengurus syarikat


  • 112
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Wave 125 sedang dalam perjalanan dari Malim menuju ke Balai Panjang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.

SEORANG wanita maut sementara suaminya parah selepas motosikal mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda yang melanggar lampu isyarat merah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, pada Jumaat.

Tidak cukup dengan itu, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton terbabit turut dilaporkan tidak pulang ke rumah dengan polis kini sedang giat memburunya.

Dalam kejadian pada pukul 11.20 malam Jumaat, mangsa, Roslinah Sinan, 53, maut di tempat kejadian, manakala suaminya, Hisham Omar, 57, cedera di bahagian kepala dan badan.

BACA LAGI: Mahu terus bantu PKS demi realisasi visi 'Satu Rumah, Satu Usahawan', Ejen2u kini hampiri nilai transaksi RM1 bilion

BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Wave 125 sedang dalam perjalanan dari Malim menuju ke Balai Panjang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat merah itu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah belakang.

"Pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Christopher berkata, semakan terhadap nombor pendaftaran pacuan empat roda itu mendapati ia didaftarkan atas nama pengurus sebuah syarikat.

"Pegawai penyiasat bersama penolong dan pengurus syarikat terbabit, selaku pemilik kenderaan, cuba mengesan pemandu Mitsubishi Triton berkenaan di rumahnya.

"Bagaimanapun, suspek tidak pulang ke rumahnya dan usaha memburunya sedang giat dilakukan," ujarnya yang memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat. 

Dalam perkembangan terbaharu, Christopher berkata, pemandu terbabit yang melarikan diri sejuru kemalangan sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada tengah hari Sabtu.

“Polis akan menjalankan ujian darah dan saringan air kencing ke atas suspek berusia 50 tahun itu yang didapati menggunakan kenderaan milik syarikatnya ketika kejadian,” katanya.

Christopher berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok untuk perintah reman dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram