‘Mama reda nak’, ibu pasrah jasad Muhd Aniq Faiz akhirnya ditemukan tersangkut di tebing sungai Tamparuli


  • 112
  • Khamis, 24 Apr 2025

Jasad Muhammad Aniq (Gambar kecil) ditemui tersangkut pada pokok buluh di tebing Sungai Tamparuli dekat Tamparuli, Sabah pada Khamis. 

PENCARIAN selama lima hari terhadap seorang kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila mayatnya ditemui tersangkut pada pokok buluh di tebing Sungai Tamparuli dekat Tamparuli, Sabah pada Khamis. 

Mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf, 5, ditemui pada pukul 12.20 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi yang dijalankan bersama beberapa agensi keselamatan dan penduduk kampung.

Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin, mayat Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf ditemui di tebing sungai. 

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Di mana kamu nak…’, budak autisme Tamparuli masih hilang, rintihan ibu Muhd Aniq Faiz undang sebak

BACA LAGI : [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom

"Mayat mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, pada pukul 12.20 tengah hari Khamis," katanya dalam satu kenyataan ringkas. 

Pada masa sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, operasi SAR hari kelima dimulakan pada pukul 8.35 pagi dengan kawasan pencarian diperluas merangkumi laluan darat dan sungai termasuk teknik arung jeram.

"Selepas hampir empat jam operasi, pasukan menemui mayat mangsa tersangkut pada buluh di tebing sungai, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari pada Khamis.

Muhammad Aniq dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas kali terakhir dilihat di belakang rumahnya. 

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Muhammad Aniq dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas kali terakhir dilihat kira-kira pukul 1.30 tengah hari di kawasan berhampiran rumah keluarganya di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.

Operasi pencarian turut dibantu unit anjing pengesan K9, anggota bomba serta penduduk kampung yang bergilir-gilir membantu usaha mencari sejak hari pertama kehilangannya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi media sosial apabila ibu mangsa, Nur Faiqah memuat naik luahan hatinya yang meruntun jiwa sejurus menerima berita pemergian anak tersayang.

“Anak kamu ‘pergi’ sudah. Mama redha nak,” tulisnya ringkas dengan emoji menangis, mencerminkan kesedihan mendalam atas kehilangan permata hatinya.

Jenazah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran kediaman keluarganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram