[VIDEO] Lelaki maut terkena tembakan dekat kepala di Kuching bukan pemandu Myvi


  • 112
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Seorang lelaki ditemui maut dengan kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa dekat Kuching, Sarawak awal pagi Sabtu.

SEORANG lelaki ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa dekat Kuching, Sarawak pada awal pagi Sabtu. 

Mangsa berusia 34 tahun itu disahkan sebagai penumpang kenderaan tersebut dan bukan pemandu seperti yang disangka pada awalnya. 

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd. Irwan Hafiz Md. Radzi.

BACA LAGI: Pelajar subjek cemerlang SPM hampir dibuang sekolah meninggal dunia, guru kongsi kisah menyentuh hati

BACA LAGI: Pelanggan pisang goreng cemas, lelaki maut ditikam suspek disyaki sakit mental depan bank di Shah Alam

Katanya, pada pukul 5.30 pagi Sabtu, dua lelaki datang ke Balai Polis Batu Kawa memaklumkan rakan mereka terbaring dalam kereta dipercayai terkena tembakan ketika memandu di jalan terbabit.

"Pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa berusia 34 tahun itu.

"Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu

Tambah beliau, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta supaya menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Sylvarius di talian 013-863 7241.

Dalam perkembangan terbaharu, Mohd. Irwan memaklumkan tiga lelaki yang juga rakan mangsa yang maut dalam kejadian itu ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk mengenal pasti jenis senjata api yang digunakan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa terkena dua das tembakan masing-masing di kepala dan lengan kanan.

Beliau turut memaklumkan mangsa adalah penumpang di bahagian hadapan kereta berkenaan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai milik mangsa berada di sebuah balai polis.

Turut kelihatan beberapa anggota polis berada di kawasan kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram