[VIDEO] Air melimpah, tembok kolam tadahan hujan Taman Seri Alam Hillpark pecah sekali lagi


  • Tular
  • Rabu, 23 Apr 2025

Tangkap layar video memaparkan kejadian tembok kolam air pecah berhampiran Taman Seri Alam Hillpark, Saujana Utama dekat Sungai Buloh pada Rabu.

PENDUDUK sekitar Taman Seri Alam Hillpark, Saujana Utama dekat Sungai Buloh, Selangor sekali lagi digemparkan dengan kejadian tembok kolam air tadahan hujan pecah berhampiran kawasan perumahan tersebut pada Rabu.

Kejadian yang berlaku awal pagi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk memandangkan tembok kolam tersebut dikatakan baru sahaja siap dibina beberapa bulan lalu.

Satu rakaman video insiden tersebut turut tular di laman Facebook LANDO Zawawi - Brotherhood Malaysia sekali gus mengundang pelbagai reaksi warga maya.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Di mana kamu nak…’, budak autisme Tamparuli masih hilang, rintihan ibu Muhd Aniq Faiz undang sebak

BACA LAGI: Guru taska wanita ditampar perompak 2 kali depan murid di Sabak Bernam, berputih mata hilang rantai emas, telefon pintar

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan limpahan air yang deras mengalir dari kolam tersebut, menyebabkan beberapa jalan dinaiki air.

Melalui perkongsian awal seorang pengguna Facebook, Azemi Hashim berkata, kejadan tersebut bukan kali pertama berlaku.

"Baru rasa lega sebab tembok baharu dah siap. Tak sangka pecah lagi. Air melimpah sampai ke kawasan perumahan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail mengesahkan kejadian terbabit. 

Katanya JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada pukul 7.26 pagi.

"Sebanyak 35 buah rumah terjejas susulan benteng takungan air di Taman Seri Alam pecah sehingga menyebabkan banjir. 

"Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 25 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Md Razali berkata, setibanya di lokasi mendapati 35 buah rumah telah dinaiki air pada bahagian belakang dengan anggaran kedalaman 0.06 meter.

"Kita mendapati benteng takungan air telah pecah sehingga mengakibatkan berlaku limpahan air di atas jalan.

Banjir semakin surut dan tiada permindahan mangsa dilakukan," ujarnya.

Untuk rekod, kejadian tembok pecah itu pertama kali berlaku pada 29 Disember tahun lepas sehingga menyebabkan sejumlah rumah penduduk di kawasan berhampiran terjejas teruk.

Malah, ada dalam kalangan penduduk yang menyuarakan pendapat agar kolam tampungan air hujan tersebut ditutup terus memandangkan lokasinya yang hanya beberapa meter dari kawasan perumahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram