‘Saya dah dapat apa yang cikgu nak tapi ALLAH lebih sayang cikgu’, pelajar sebak tak sempat kongsi keputusan SPM dengan arwah guru tercinta


  • Tular
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Tangkap layar seorang pelajar menangis apabila mengetahui cikgu kesayangannya suda meninggal dunia ketika mengambil keputusan SPM pada Khamis lalu.

SEJAK Khamis lalu, media sosial dibanjiri pelbagai reaksi penuh emosi susulan pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, apabila ribuan pengguna berkongsi detik manis pelajar dan ibu bapa meraikan kejayaan masing-masing.

Daripada pelukan penuh syukur, tangisan kegembiraan, hingga coretan penghargaan buat insan tersayang, platform digital menjadi medan luahan perasaan dalam menyambut penantian penuh debaran itu.

Namun di sebalik kegembiraan ramai, terselit satu kisah yang meruntun jiwa tentang seorang pelajar yang tidak sempat berkongsi keputusan cemerlangnya bersama arwah guru tercinta, yang terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi.

BACA LAGI : Pelajar subjek cemerlang SPM hampir dibuang sekolah meninggal dunia, guru kongsi kisah menyentuh hati

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki maut terkena tembakan di kepala ketika memandu di Kuching

Luahan tersebut dimuat naik pengguna TikTok, @nazzytheqayz, yang berkongsi rasa sebak kerana impiannya untuk menunjukkan slip keputusan kepada insan yang banyak berjasa itu tidak kesampaian.

"Bukan tak reda, tapi sebak sebab tak sempat ambil result sekali dengan cikgu. Cikgu lah yang mengajar dan cikgu jugalah yang menjadi kawan untuk bergurau senda.

"Saya dah dapat apa yang cikgu target, tapi ALLAH lebih sayang cikgu. Terima kasih cikgu kerana bertungkus-lumus mendidik saya sampai ke titik ini. 

"Saya rindu cikgu, cikgu tunggu saya di sana ya. Semoga tenang di sana, orang baik,” tulisnya dalam satu hantaran ringkas yang menyentuh perasaan ramai pada Jumaat.

Pada masa sama, pelajar lelaki tersebut turut berkongsi video memaparkan dirinya menangis teresak-esak bersama guru yang lain di sekolah tersebut ketika mengambil keputusan SPM. 

Video berdurasi lebih seminit itu turut mengundang sebak dalam kalangan warga maya. 

Antara yang menarik perhatian ialah komen seorang pengguna bernama Miss Niena yang dipercayai juga seorang guru:

“Terima kasih sebab menjadi anak didik cikgu. Cikgu bangga dengan awak. Teruskan usaha untuk berjaya. Bawa ilmu cikgu hingga ke akhir hayat.”

Seorang lagi pengguna, Mohamad Firdaus, turut menzahirkan rasa simpati:

"Dik kau tahu tak, bila kau menangis, aku pun menangis. Pengorbanan dia dah berbaloi. Sekarang semuanya terpulang pada kau dik, sebab perjalanan kita takkan pernah berhenti. ALLAH… mesti cikgu kau bangga dik," tulisnya. 

Kisah yang tular itu menjadi simbol kasih abadi antara murid dan guru, dan sekali gus mengingatkan orang ramai tentang betapa besarnya pengorbanan warga pendidik dalam mencorak masa depan anak bangsa.

Walaupun arwah guru yang tidak didedahkan namanya tersebut tidak sempat melihat kejayaan anak muridnya, jelas pengorbanan dan kasih sayangnya terus hidup dalam jiwa insan yang dididiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram