
DI saat media sosial dihujani dengan kisah kejayaan dan kegembiraan pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Khamis, satu luahan hiba oleh seorang guru di Facebook telah menyentuh hati ramai.
Cikgu Muslim Ismail, berkongsi kisah menyayat hati mengenai seorang bekas pelajarnya yang baru sahaja pergi menghadap Ilahi hanya beberapa hari sebelum keputusan SPM diumumkan.
Pelajar itu, menurut Muslim Ismail, pernah hampir dibuang sekolah ketika di Tingkatan Empat kerana kerap ponteng, namun dengan usaha berterusan guru-guru dan kaunselor sekolah, dia kembali meneruskan persekolahan.
"Walaupun sering bergelut dengan pelajaran dan tidak pernah lulus subjek landskap yang diajar, pelajar tersebut tidak pernah culas menyiapkan tugasan dan menunjukkan semangat yang luar biasa.
"Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya… tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah.
"Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai," tulis Muslim Ismail dalam hantaran Facebook peribadinya yang kini tular.
Muslim Ismail turut berkongsi bahawa pelajarnya itu berjaya meraih keputusan A- dalam keputusan SPM tahun ini.
Ujarnya, ia merupakan satu pencapaian besar buat seorang pelajar yang dulunya hampir tercicir. Namun takdir berkata lain.
"Dia dah pergi Isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks. Aku tak sempat ucap tahniah.
"Awak tak banyak dosa, nanti tolong saya kalau saya di sebelah satu lagi," luah Cikgu Muslim sayu.
Kisah itu bukan hanya menggambarkan kasih seorang guru terhadap anak didiknya, malah menjadi peringatan buat semua tentang pentingnya memahami jiwa pelajar, serta betapa setiap insan.
Walaupun ada dalam kalangan pelajar itu lemah di mata sistem pendidikan tetapi mereka mampu bersinar jika diberi ruang dan kasih.
Hantaran tersebut turut mendapat perhatian ramai warganet yang memuji keprihatinan guru berkenaan dan menganggap pelajar itu sebagai simbol harapan dan kekuatan yang tidak ternilai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram