
HAD bagi pembelian 10 kilogram (kg) beg beras putih tempatan berharga RM26 setiap satu dinaikkan kepada lima bagi setiap transaksi, daripada dua beg sebelum ini.
Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kelonggaran itu diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna semasa dan menangani keperluan kumpulan sasar, khususnya ketua isi rumah berpendapatan rendah.
“Sehingga pertengahan April lalu, sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan seberat 10kg telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
"Negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan pengagihan tertinggi. Inisiatif ini adalah antara usaha utama kementerian untuk menjaga bekalan beras negara secara konsisten," katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan kementerian dan perhimpunan Aidilfitri di Serdang, Selangor pada Isnin.
BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?
Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut mendapat pujian daripada Kabinet atas langkah kawalan harga berkesan pada musim perayaan tahun ini sambil menyifatkan ia sebagai antara terbaik dalam sejarah.
“Pasaran kekal stabil sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal, dengan harga barangan keperluan seperti ayam, telur, sayur-sayuran, ikan dan daging kekal terkawal dan mampu milik, tanpa sebarang lonjakan yang boleh membebankan pengguna,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sementara itu, beliau berkata, Program Semarak Syawal 2025 dari 22 hingga 30 Mac lalu mencatatkan jualan RM21.43 juta, melebihi sasaran RM20 juta.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja membolehkan pengguna membeli barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan malah membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan tani menjelang perayaan.
Program itu dijalankan di 262 lokasi seluruh negara termasuk pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar dan Medan Niaga Satok di Sarawak membabitkan 9,005 usahawan tempatan.
Mohamad turut membangkitkan kebimbangan mengenai isu pembaziran makanan membimbangkan terutamanya semasa musim perayaan,
Beliau memetik penemuan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menganggarkan 90,000 tan makanan dibazirkan sepanjang Ramadan pada 2023.
“Fenomena ini bukan sahaja menggambarkan pembaziran sumber tetapi juga menyebabkan kerugian besar daripada perspektif kemapanan ekonomi, etika dan alam sekitar,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram