
BAGI yang melancong ke Pulau Pangkor, Perak, kunjungan ke sana tidak lengkap sekiranya tidak merasai hidangan laksa mi Pangkor yang merupakan sebahagian makanan warisan dan kebanggaan penduduk tempatan.
Berbeza dengan laksa dari negeri lain di Malaysia, laksa mi Pangkor menyajikan mi putih khas diperbuat daripada tepung gandum, berbeza daripada laksa tepung beras selain dihidangkan bersama kuah jernih berasaskan makanan laut.
Ia termasuk ikan, udang atau sotong dan lebih enak sekiranya dinikmati bersama sambal tumis.
BACA LAGI: Produk wangian eksklusif Medin Fragrance mahu terjemah seni, budaya dan sejarah Malaysia
Antara restoran terkenal menyediakan hidangan autentik tersebut ialah Laksa D'Kelapa yang berada di Pantai Pasir Bogak.
Pemiliknya, Azhar Jamaludin, 38, merupakan generasi ketiga penjual laksa di Pulau Pangkor di mana perniagaan tersebut dimulakan oleh neneknya, Jaeyh Chik Manap, 79, pada sekitar 1970-an di depan rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Pinang Besar.
Menurut Azhar, resipi digunakan ketika itu diwarisi daripada moyang dengan ibunya, Jamaludin Azizah Jaafar, 60, turut sama terlibat dalam perniagaan terbabit.
Lokasi yang strategik menyebabkan Laksa D'Kelapa menjadi tarikan utama untuk mereka yang mencari hidangan laksa mi Pangkor.
Ujarnya, perubahan ke tapak niaganya ketika ini berlaku pada 2018 selepas beberapa lama beliau memikirkan idea bagi mengembangkan perniagaan keluarganya.
"Asalnya mak dan nenek berniaga depan rumah. Tapi waktu itu saya fikir, makanan ini orang suka, jadi takkan dia nak duduk di kampung sahaja.
"Kemudian saya pun cuba cari peluang mohon dapatkan tapak niaga dan alhamdulillah rezeki saya dapat betul-betul di tepi pantai.
"Memang tempat strategik. Jadi sambil makan petang, orang boleh tengok matahari terbenam," katanya yang terlibat membantu perusahaan jualan laksa diusahakan keluarganya sejak kecil.
Sebelum menyertai perniagaan keluarga, Azhar yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah terlebih dahulu berkhidmat dalam bidang teknologi maklumat (IT) selama beberapa tahun sebaik menamatkan pengajian pada 2011.
Bagaimanapun, anak sulung daripada lima beradik itu kemudiannya pulang ke kampung selepas menerima tawaran menjadi pengurus di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di pulau kelahirannya.
Azhar berkata, ketika ini, laksa mi Pangkor yang dihidangkan di restorannya masih mengekalkan resipi tradisi diwarisi sejak bergenerasi.
Laksa kuah lemak merupakan antara menu utama yang disediakan di Laksa D'Kelapa.
Kedainya ketika ini beroperasi bermula daripada 2.30 petang hingga 11 malam dari Sabtu hingga Khamis.
Selain laksa mi Pangkor, menu utama lain disediakan termasuk laksa Utara dan nasi lemak manakala ikan bakar pula disediakan sebagai hidangan waktu malam.
Dalam pada itu, Azhar mengakui kepentingan Pulau Pangkor antara destinasi pelancongan utama di Malaysia sememangnya membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan.
Bagaimanapun, beliau berkata, peniaga bagaimanapun perlu fokus dan berani khususnya dalam melakukan inisiatif dilihat mampu memajukan perniagaan masing-masing.
"Masa saya mula-mula cuba idea buka restoran di tepi pantai, ramai yang pandang negatif. Mereka persoal boleh ke?
"Yalah sebab kita pun mula meniaga di depan rumah dalam kampung. Tapi sebabkan idea itu saya dah fikir lama, saya cuba juga dan Alhamdulillah berhasil," ujarnya yang kini menguruskan restoran itu secara sambilan dengan operasinya dibantu ibu bapa dan adik bongsu.
Azhar berkata, restorannya yang beroperasi dengan dibantu oleh 10 orang pekerja boleh menjana pendapatan mencecah lima angka khususnya ketika musim percutian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram