
MURID di beberapa sekolah di negara ini mula mengenakan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing selaras dengan inisiatif kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mewajibkan pemakaiannya bermula 21 April ini.
Usaha bagi menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik itu turut mendapat sokongan padu daripada ibu bapa.
Tinjauan The Star di dua sekolah di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas, Pulau Pinang mendapati murid-murid sudah pun memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka.
BACA LAGI: Kenal pasti sekolah terlibat, KPM sedia laksana PdPR semasa Sidang Kemuncak Asean — Fadhlina Sidek
BACA LAGI: Lebih 20 tahun jadi peguam syarie, ramai tak tahu Fadhlina pernah kendali kes balu Abam Bocey
Sebahagian pelajar SMK Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan bangga melihat lencana Jalur Gemilang yang tersemat pada baju seragam mereka. — X/KPM
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, pelajar Tingkatan Satu, Mohd Fakhrullah Abu Bakar, 13, tiba di sekolah dengan ditemani bapanya.
Dengan lencana Jalur Gemilang tersemat kemas di bahagian kanan baju, Mohd Fakhrullah melangkah masuk ke kawasan sekolah dengan bangga.
“Saya rasa sangat gembira apabila kami menerima lencana itu daripada guru-guru dan berasa teruja untuk memakainya,” katanya ketika ditemui.
Mohd Fakhrullah berkata, dia dan semua rakan sekelasnya menerima dua lencana Jalur Gemilang setiap seorang daripada guru mereka minggu lalu.
Seorang lagi pelajar Tingkatan 1, Muhammad Firas Wahyu Mohd Firdaus, 13, turut memakai lencana tersebut dengan penuh rasa bangga semasa tiba di sekolah bersama bapanya.
Fadhlina (kiri) menyemat lencana Jalur Gemilang pada baju seorang pelajar SMK Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas. — X/KPM
Muhammad Firas menyatakan rasa suka terhadap lencana itu, sambil menyifatkan ia sebagai simbol patriotisme yang penuh makna.
“Saya tiada masalah untuk memakainya, malah ia membuatkan saya merasai semangat patriotik dan bangga,” katanya sambil tersenyum.
Pelajar Tingkatan 2, Safiya Zulaikha Mohd Ikhwan, 14, turut menyuarakan pendapat sama.
Kongsinya, pemakaian lencana Jalur Gemilang menyemai semangat bangga terhadap negara dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Saya rasa lebih dekat dengan negara yang dicintai setiap kali melihat lencana itu pada pakaian seragam.
"Ia mengingatkan saya mengenai kemerdekaan dan betapa pentingnya untuk menyayangi dan menghargai Malaysia,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang bapa, Abu Bakar Saad, 46, inisiatif tersebut dilaksanakan tepat pada masanya kerana ia penting untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda supaya mereka membesar dengan rasa cinta kepada negara.
“Pemakaian lencana ini satu langkah yang bagus kerana ia boleh menyemai rasa cinta negara dalam kalangan anak muda,” katanya.
Juruteknik kilang itu menambah bahawa inisiatif kecil seperti ini boleh memberi impak besar dalam membentuk pemikiran anak muda untuk menghargai perpaduan dan identiti kebangsaan.
“Sebagai orang dewasa, kita perlu tunjukkan contoh yang baik dan menyokong usaha yang memperkukuh semangat kebangsaan,” katanya.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang dapat mengukuhkan rasa cinta terhadap negara dan menyemai semangat patriotik dalam diri pelajar. — X/KPM
Seorang lagi bapa, Mohd Firdaus Othman, 43, turut menyokong inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai cara yang mudah tetapi berkesan untuk menyemai nilai-nilai pembinaan negara bangsa dalam kalangan generasi muda.
“Usaha kecil seperti ini boleh memberi kesan yang mendalam dan impak berkekalan," katanya.
Suri rumah, Zaiton Ahmad, 36, memuji inisiatif KPM dan menyifatkannya sebagai langkah yang kena pada waktunya susulan isu-isu terkini berkaitan Jalur Gemilang.
“Saya harap inisiatif ini dapat melahirkan generasi baharu yang benar-benar menyayangi negara,” katanya.
Di SMK Datuk Hj Abdul Kadir, para pelajar begitu teruja semasa majlis penyampaian lencana Jalur Gemilang di sekolah.
Pelajar Tingkatan 5, T. Kiisyan, 17, berkata, dia berasa bangga memakai lencana Jalur Gemilang kerana ia menguatkan semangat patriotisme dan cintanya terhadap negara.
“Saya gembira kerana dapat menunjukkan cinta kepada negara bukan hanya melalui kata-kata tetapi juga tindakan,” katanya.
Sebahagian murid SJK(C) Han Chiang (Dari kiri) Muhammad Adam Amsyar Mohd Asrulnaim, Nuraiyra Nuriman, Leong Bao Wen, Eow Ee Raey, Kavinesh Muniandy menunjukkan lencana Jalur Gemilang pada baju sekolah mereka. — The Star
Rakannya, Lim Jia Qi, 17, turut berkongsi perasaan sama dan menyifatkan ia satu tanggungjawab buat dirinya dan pelajar untuk memakai lencana Jalur Gemilang dengan penuh bangga.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi identiti (Jalur Gemilang) dan mencintainya,” katanya.
Syazwina Shibra Shaharrudin, 17, berkata, pemakaian Jalur Gemilang bukan sahaja mengukuhkan rasa cinta terhadap negara, malah membuatkan dia benar-benar bersyukur dan bangga menjadi rakyat Malaysia.
“Ia membantu memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan antara semua kaum, tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Tambahnya, langkah KPM akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja sepertinya untuk lebih menghormati bendera negara.
Sebahagian murid SK Presint 16 (2) Putrajaya bangga dan teruja ketika menerima lencana Jalur Gemilang untuk dipakai pada uniform mereka pada Isnin. Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan. — X/KPM
Institusi swasta digalak laksana inisiatif pakai lencana Jalur Gemilang
Institusi pendidikan lain yang bukan di bawah bidang kuasa KPM juga digalak melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia bertujuan memastikan matlamat kepada inisiatif kerajaan sampai kepada semua pelajar di negara ini dan disokong oleh semua pihak.
Katanya, terdapat keseluruhan 5.3 juta pelajar di bawah KPM dan kesemua mereka secara serentak terlibat dalam pemakaian Jalur Gemilang mulai 21 April.
Menurut Fadhlina, salah satu elemen penting yang perlu ditunjukkan melalui inisiatif itu adalah komitmen kukuh di peringkat kebangsaan bag memastikan nilai-nilai yang berkait rapat dengan patriotisme, perpaduan dan identiti kebangsaan diperkenalkan seawal mungkin.
Katanya, ia termasuk mengintegrasikan nilai-nilai berkenaan di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, serta di semua institusi penyelidikan dan pendidikan di seluruh negara.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Sekolah bertempat di SMK Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin. — X/KPM
"Dengan menyemai semangat Jalur Gemilang dalam perjalanan akademik pelajar dan perkembangan kanak-kanak sejak peringkat awal, KPM menyasarkan untuk membentuk satu generasi yang bukan sahaja cerdas secara intelektual, tetapi juga sangat berhubung rapat dengan akar dan identiti kebangsaan mereka.
“Insya-ALLAH, kami percaya dengan mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma kepada semua entiti kerajaan, ia akan membantu memperkukuh semangat patriotisme,” katanya.
“Usaha ini akan disokong oleh guru-guru yang berdedikasi, yang akan terus mengingatkan murid-murid tentang protokol, etika, penggunaan dan penghormatan yang perlu ditunjukkan ketika memakai Jalur Gemilang,” jelasnya.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri majlis pelancaran pemakaian Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi.
KPM sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawahnya, berkuat kuasa 21 April ini.
Inisiatif tersebut melibatkan sekolah-sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia dalam usaha memupuk semangat patriotisme yang mendalam dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.
Menurut Fadhlina, murid dan pelajar yang tidak memakai lencana Jalur Gemilang tidak akan dikenakan sebarang hukuman kerana inisiatif tersebut bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi lebih kepada untuk memupuk rasa cinta kepada negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh ketika hadir Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Sekolah di SJKC Pei Yuan, Kampar, Perak. — X/KPM
Bendera Malaysia, yang dikenali sebagai Jalur Gemilang, secara rasmi diterima pakai pada 26 Mei 1950 dan reka bentuknya dipilih melalui satu pertandingan kebangsaan yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.
Bendera tersebut mempunyai 14 jalur merah dan putih sama lebar yang melambangkan haluan lurus dan hala tuju serta arah sama antara 14 negeri anggota.
Bahagian biru tua di penjuru atas melambangkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum, manakala bulan sabit dan bintang 14 bucu mewakili agama Islam sebagai agama rasmi dan perpaduan negeri-negeri tersebut. Warna kuning pada bulan sabit dan bintang melambangkan kedaulatan diraja.
Reka bentuk bendera itu kekal sama dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, menerusi penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun berpisahnya Singapura dari Malaysia pada 1965 tidak mengubah jumlah 14 jalurnya kerana ia diwakili oleh 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Pada 31 Ogos 1997, sempena sambutan kemerdekaan, bendera ini secara rasmi dinamakan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Nama tersebut mencerminkan kebanggaan, perjuangan dan perpaduan rakyat Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram