[VIDEO] Masih bertugas macam biasa lepas asap keluar, CCTV dedah detik akhir sebelum letupan ragut lebih 40 nyawa di pelabuhan Iran


  • Benua
  • Isnin, 28 Apr 2025

Tangkap layar video terbaharu memaparkan detik-detik api mula marak sebelum mencetuskan letupan di pelabuhan terbabit pada Sabtu.

ANGKA kematian akibat letupan kuat di pelabuhan terbesar Iran di Bandar Abbas meningkat kepada sekurang-kurangnya 40 mangsa dengan lebih 1,200 orang cedera, media kerajaan melaporkan pada Ahad.

Menurut laporan Reuters, anggota bomba turut dilaporkan masih sedang berusaha memadamkan sepenuhnya kebakaran yang berlaku.

Letupan pada Sabtu berlaku di bahagian Shahid Rajaee di pelabuhan terbabit yang merupakan hab kontena terbesar Iran.

BACA LAGI: Mahu terus bantu PKS demi realisasi visi 'Satu Rumah, Satu Usahawan', Ejen2u kini hampiri nilai transaksi RM1 bilion

BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?

Insiden itu turut dirasai sejauh beberapa kilometer di kawasan sekitar dengan ia turut memecahkan cermin dan merosakkan kontena perkapalan serta barangan di dalamnya, kata media kerajaan.

Kejadian terbabit berlaku ketika Iran sedang memasuki pusingan ketiga rundingan nuklear bersama Amerika Syarikat (AS) di Oman.

Kebakaran dilaporkan masih berlaku di bahagian berlainan kawasan yang terjejas setakat malam Ahad, menurut media kerajaan, dengan helikopter dan bomba meneruskan usaha untuk memadamkannya.

Dalam pada itu, video terbaharu daripada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi turut tular di media sosial memaparkan detik-detik sebelum letupan terbabit.

Menerusi klip terbabit, asap putih dilihat keluar daripada satu kawasan di pelabuhan berkenaan sebelum ia menghasilkan api yang marak.

Ketika kejadian, ramai pekerja dilihat berada di sekitar dengan ada antaranya masih meneruskan tugas masing-masing.

Bagaimanapun, beberapa saat kemudian, kebakaran yang berlaku menyebabkan letupan kuat sehingga merosakkan kamera CCTV berkenaan.

Bahan kimia di pelabuhan itu disyaki mencetuskan letupan terbabit, namun punca sebenar kejadian masih tidak dapat dipastikan.

Kementerian Pertahanan Iran menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa letupan itu berpunca akibat salah guna bahan api pepejal yang digunakan untuk peluru berpandu.

Jurucakap kementerian itu memberitahu stesen televisyen kerajaan bahawa laporan itu sebagai perang psikologi pihak musuh sambil menyatakan bahawa kawasan yang dilanda letupan tidak mengandungi sebarang kargo tentera.

Usaha memadamkan sepenuhnya kebakaran yang berlaku masih sedang dijalankan setakat Ahad. — Agensi

The Associated Press memetik firma keselamatan Britain, Ambrey sebagai berkata, pelabuhan itu pada Mac menerima natrium perklorat, bahan digunakan untuk peluru berpandu balistik dan berpotensi menyebabkan letupan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. 

Financial Times melaporkan pada Januari mengenai penghantaran dua kapal Iran dari China yang mengandungi cukup bahan untuk digunakan terhadap 260 peluru berpandu jarak sederhana, sekali gus membantu Tehran menambah stoknya berikutan serangan peluru berpandu langsung ke atas musuh ketatnya, Israel pada 2024.

Menjelang awal petang Ahad, ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memberitahu media kerajaan bahawa 90 peratus kebakaran telah dipadamkan dan pegawai itu berkata, aktiviti di pelabuhan telah disambung semula di bahagian Shahid Rajaee yang tidak terjejas.

Jurucakap organisasi pengurusan krisis negara pada Sabtu menyatakan letupan itu berkemungkinan disebabkan oleh tahap penyimpanan bahan kimia yang lemah di Shahid Rajaee, sambil menambah bahawa amaran awal telah menimbulkan kerisauan mengenai potensi risiko keselamatan.

Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani memberi amaran terhadap "spekulasi pramatang" dengan menegaskan penilaian akhir akan dikongsi selepas siasatan.

Faktor kecuaian didapati sering menjadi titik perbincangan utama dalam beberapa siri insiden maut di Iran terutamanya infrastruktur perindustrian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Beberapa insiden kemalangan di Iran termasuk kebakaran tempat penapisan, letupan gas di lombong arang batu dan insiden pembaikan kecemasan di Bandar Abbas mengorbankan seorang pekerja pada 2023.

Iran sebelum ini menyalahkan beberapa insiden berasingan ke atas Israel yang melakukan serangan ke atas wilayah negara tersebut dengan menyasarkan program nuklear Iran.

Ia termasuk tindakan rejim Zionis pada tahun lepas yang mengebom sistem pertahanan udara negara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram