
BERGELAR seorang qari bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan kemahiran dan teknik dan bacaannya sama sekali tidak boleh disamakan dengan nyanyian nasyid.
Ia melibatkan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan tertib iaitu membaca dengan perlahan, jelas dan mengikut tajwid yang tepat.
Namun, di sebalik melafazkan ayat al-Quran dengan tertib, seorang qari juga perlu menyampaikan keindahan dan makna bacaan melalui suara serta intonasi yang merdu.
BACA LAGI: 'Harap ikut jejak Terengganu', kerajaan Selangor pertimbang larangan jual vape
BACA LAGI: Letih dengar masalah orang, belajar katakan tidak! 4 cara boleh dilakukan demi kesihatan mental
Aiman (kiri) dinobat johan qari bagi Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perak pada Februari lalu. — Instagram/Aiman
Dua kali merangkul gelaran johan dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 2022 dan 2025, Aiman Ridhwan Mohammad Ramlan, 27, antara individu yang mampu memberi pendedahan tentang bidang tersebut.
Menjadikan al-Quran sebagai nadi utama dalam kehidupannya, anak kelahiran Perak itu juga antara wakil Malaysia yang berhasil melebarkan sayapnya sehingga ke peringkat antarabangsa.
Mana tidaknya, Aiman dijemput sebagai tetamu jemputan dalam sebuah program televisyen di Iran untuk mempersembahkan bacaan al-Quran serta memperkenalkan kebudayaan Islam di Malaysia secara umum.
Menurutnya, program bermusim itu juga disertai beberapa panel lain dari beberapa negara Islam lain yang berperanan sebagai penilai dalam bentuk interaksi santai.
"Ia bukan pertandingan dan hanya seperti rancangan tilawah al-Quran.
"Ketika itu saya pakai baju Melayu sambil buat selawat pengantin.
"Dan saya perkenalkan kepada mereka tentang adat perkahwinan di Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Katanya, ia satu pengalaman menarik dan berharga apabila diberi peluang bernilai sedemikian.
Ia secara tidak langsung memberi semangat baharu buatnya untuk terus berusaha membawa diri ke peringkat antarabangsa.
Aiman juga kini giat mempersiapkan diri untuk mewakili Perak ke peringkat kebangsaan kali ketiga di Perlis pada 27 April hingga 2 Mei nanti.
"Jika saya menang di peringkat kebangsaan ini, baru saya dapat wakil Malaysia untuk ke antarabangsa
"Harapan saya untuk menang bukan sekadar menang, tetapi menang dengan markah yang meyakinkan dan membawa martabat qari negara ke peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Aiman turut berkongsi beberapa langkah yang dilakukan supaya tidak melakukan kesalahan besar ketika pertandingan.
"Persediaan sebenarnya bukan bermula sebulan dua sebelum pertandingan. Ia merupakan latihan berterusan sepanjang tahun.
"Maksudnya, saya diet untuk bagi nafas panjang. Saya pun akan kawal pemakanan termasuk nasi biar berat badan turun.
"Jadi, bila nafas panjang, suara lebih jelas," kongsinya.
Bukan itu sahaja, Aiman turut mengamalkan latihan yang kerap iaitu dengan mendengar bacaan-bacaan ahli ulama sebagai rujukan setiap hari termasuk waktu tidur dan ketika memandu.
Aiman (kanan) sentiasa berusaha untuk tidak melakukan kesalahan besar ketika mengalunkan bacaan al-Quran. — Instagram/Aiman
"Dalam masa sebulan saya juga akan berjumpa dengan guru di Kelantan untuk tuntut ilmu yang mungkin boleh digunakan untuk persiapkan diri dalam pertandingan," jelasnya.
Meskipun dibesarkan dalam keluarga sederhana dan bukan kalangan tokoh-tokoh agamawan, minatnya menjadi qari tetap diteruskan.
Bagi anak sulung daripada dua beradik itu, kerjaya kedua ibu bapanya yang bukan digelarkan ustaz atau ustazah tidak sesekali mematahkan semangatnya.
"Walaupun begitu, ibu bapa adalah orang yang selalu beri dorongan dan didikan secukupnya.
"Doa daripada mereka juga sangat penting kerana saya nampak jalan untuk teruskan minat saya agar dipermudahkan," katanya lagi.
Bercakap soal qari, pastinya ia dapat dikaitkan dengan nyanyian ketika melafazkan ayat al-Quran.
Aiman bagaimanapun menjelaskan bahawa setiap qari perlu menjaga batasan ketika mengalunkan bacaan al-Quran supaya ia tidak terlalu berlebih-lebihan.
"Sebenarnya qari perlu ada penjagaan dalam bidang ini dan jangan lebih kepada menyanyi kecuali nasyid atau yang ke arah keagamaan.
"Maksudnya, saya qari tetapi tiba-tiba masuk program nyanyian hiburan. Jadi, jika menyanyi untuk berdakwah itu dibenarkan sahaja," katanya sambil menekankan bahawa adab dan tatasusila perlulah sama dijaga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram