[VIDEO] Ada 4 rekod jenayah, pemandu naik hantu langgar lelaki ditahan — Polis Klang


  • 112
  • Ahad, 27 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki dilanggar kenderaan di Jalan Dato Yusof Shahbudin 28, Bandar Sentosa dekat Klang pada Sabtu.

GARA-GARA bertengkar di jalan raya, seorang pemandu kereta bertindak melanggar dan menyeret seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin 28, Bandar Sentosa dekat Klang, Selangor pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa berusia 50 tahun cedera di kedua-dua belah kaki dan bahu kiri selepas dilanggar suspek berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian pergaduhan antara seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta.

BACA LAGI: Bukit Aman kesan geng samseng rekrut ahli guna media sosial

BACA LAGI: Pelanggan pisang goreng cemas, lelaki maut ditikam suspek disyaki sakit mental depan bank di Shah Alam

"Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca apabila mangsa menunggang motosikal dalam keadaan mengelak jalan tidak rata, namun pemandu kereta beranggapan mangsa menunggang secara berbahaya dan membunyikan hon.

"Ini menyebabkan mangsa tidak puas hati dan mengejar suspek sebelum berlaku pertengkaran.

"Ketika pergaduhan itu, mangsa mengetuk cermin hadapan kereta dengan topi keledar sehingga menyebabkan cermin tersebut retak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

 

 

 

 

Tambah beliau, suspek kemudian bertindak melanggar mangsa sebelum menyeretnya di bawah kenderaan.

"Selepas kejadian, suspek melarikan diri manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

"Mangsa kini dilaporkan stabil," katanya.

Ramli berkata, suspek berjaya ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau.

"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video kejadian bagi mengelakkan kekeliruan serta gangguan siasatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram