[VIDEO] Tindakan pantas polis peronda Semporna iring kereta bapa budak sawan ke hospital raih pujian ramai


  • Tular
  • Ahad, 27 Apr 2025

tangkap layar seorang anggota polis Semporna membantu seorang kanak-kanak yang mengalami sawan baru-baru ini.

TUGAS seorang anggota polis tidak terhad kepada menjaga keamanan dan ketenteraman masyarakat sahaja, tetapi juga melibatkan pelbagai aspek lain yang penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat. 

Terbaru, tindakan pantas anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Daerah Semporna, Sabah pada Ahad mendapat perhatian warga maya apabila salah seorang anggota mereka mereka membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang memerlukan bantuan kecemasan.

Kejadian itu dikongsikan semula di laman Facebook rasmi Polis Daerah Semporna-Official sehingga meraih pujian masyarakat awam. 

BACA LAGI :  Rainbow Friends Roblox antara 4 kartun kurang sesuai ditonton budak di YouTube, elemen 'jump scare' boleh cetus fobia berpanjangan

BACA LAGI : Bukit Aman kesan geng samseng rekrut ahli guna media sosial

Menurut hantaran Facebook berkenaan, kanak-kanak itu mengalami sawan di tepi jalan berhampiran Masjid Inabah Kamal.

Anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah itu, terserempak dengan sebuah kenderaan yang berhenti di bahu jalan.

Pemandu kereta kelihatan cemas kerana anaknya mengalami sawan. Dalam situasi yang mendesak, anggota polis tersebut tidak teragak-agak memberikan bantuan dengan segera, malah mengiringi pemandu itu ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan.

"Semasa anggota URB membuat rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang berhenti di tepi jalan berdekatan Masjid Inabah Kamal dimana seorang pemandu cuba mengejutkan anaknya yang terkena sawan. 

"Anggota seterusnya memberi bantuan dan mengiringi pemandu tersebut ke Hospital Semporna bagi mendapatkan bantuan dengan segera," tulis pentadbir laman Facebook berkenaan pada Ahad. 

Lebih mengharukan lagi, dalam video yang dikongsikan, kelihatan seorang anggota polis sedang membawa kanak-kanak tersebut ke dalam hospital.

Peristiwa itu sekali gus membuktikan tugas polis bukan hanya berfokus kepada tugas penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan jenayah, tetapi juga melibatkan bantuan kecemasan dalam situasi-situasi yang memerlukan. 

Tindakan segera dan cekap anggota polis itu telah mendapat penghargaan ramai, dengan pengguna media sosial menzahirkan ucapan terima kasih dan memuji profesionalisme anggota polis tersebut.

Seorang warga maya, Yvette Justin berkata, tugas polis sebenarnya merangkumi lebih daripada sekadar menjaga keamanan awam. 

"Tindakan anggota polis yang cepat bertindak dalam membantu kanak-kanak yang sawan ini adalah bukti jelas bahawa mereka sentiasa berada di garis hadapan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

"Terima kasih orang baik," tulisnya.

Reaksi positif daripada masyarakat di media sosial membuktikan bahawa peranan polis dalam memberikan bantuan bukan sahaja dihargai, tetapi juga menunjukkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis dalam menjaga keselamatan dan kesihatan awam.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram