
DEMI mendapatkan bekalan dadah, ada yang sanggup menggadaikan motosikal dan kereta mereka kepada seorang pengedar dadah di Indonesia.
Kes itu terbongkar apabila seorang pengedar dadah dikenali sebagai Amir, 38, atau "Kobar", diberkas selepas didapati menjadikan kenderaan sebagai cagaran untuk pelanggan membeli syabu di daerah Probolinggo, Jawa Timur.
Lebih memeranjatkan, Amir turut menggelar dirinya "Kobar" sempena nama pengedar dan mafia dadah terkenal Pablo Escobar.
BACA LAGI : Bukit Aman kesan geng samseng rekrut ahli guna media sosial
Suspek turut dikesan menjalankan kegiatan pengedaran bahan terlarang itu secara besar-besaran dan terancang di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Probolinggo, Wisnu Wardana berkata, pelanggan yang tidak mempunyai wang akan meninggalkan motosikal atau kereta mereka kepada suspek.
“Kalau ada wang, mereka tebus kenderaan. Kalau tidak, motosikal atau kereta itu menjadi hak milik Amir," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Probolinggo pada Sabtu.
Antara motosikal di rumah Amir yang berjaya dirampas polis Indonesia. — Agensi
Serbuan ke atas rumah suspek di kawasan Gending menemukan 10 buah motosikal pelbagai jenis dan sebuah kereta Honda yang dipercayai dijadikan cagaran oleh pembeli syabu.
“Sebahagian besar kenderaan itu tidak mempunyai dokumen lengkap. Kita masih menyiasat latar belakang setiap kenderaan terbabit," ujar Wisnu.
Beliau menjelaskan, individu yang menggadaikan kenderaan bukan sekadar penagih, tetapi juga pengedar kecil yang terdesak mahu mendapatkan bekalan.
Wisnu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi menentukan jumlah sebenar nilai pertukaran kenderaan dengan dadah yang diperoleh pelanggan.
"Kami juga sedang memeriksa nombor casis dan enjin setiap kenderaan bagi memastikan tiada kaitan dengan kes curi motosikal atau kereta," katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Probolinggo, Nurmansyah berkata, rumah Amir dipenuhi motosikal sehingga menyerupai sebuah bengkel.
"Amir mendakwa semua motosikal dan kereta itu milik pelanggan yang gagal membayar selepas mengambil syabu," katanya.
Taktik licik itu membolehkan Amir bukan sahaja menjual syabu, malah mengaut untung berganda hasil memiliki kenderaan yang digadai oleh pelanggan terdesak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram