Bukit Aman kesan geng samseng rekrut ahli guna media sosial


  • 112
  • Ahad, 27 Apr 2025

Ahli kongsi gelap menggunakan kod dan lambang tertentu untuk berkomunikasi serta mengadakan upacara angkat sumpah sebagai ahli seumur hidup. — Gambar Hiasan

BERBEZA dengan gambaran dalam filem The Godfather, Malaysia bernasib baik kerana tidak mempunyai kumpulan mafia. Namun, kewujudan kongsi gelap dan geng samseng tetap menguasai sebahagian kawasan di negara ini.

Geng jenayah di Malaysia dikategorikan kepada tiga mengikut Akta Pertubuhan, iaitu triad, kongsi gelap, dan geng samseng.

Triad merujuk kepada kumpulan jenayah besar yang memiliki struktur organisasi teratur seperti mafia di Barat atau yakuza di Jepun. 

BACA LAGI : Pelanggan pisang goreng cemas, lelaki maut ditikam suspek disyaki sakit mental depan bank di Shah Alam

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki maut terkena tembakan dekat kepala di Kuching bukan pemandu Myvi

Ahli triad bergerak secara rahsia dan menjalankan aktiviti seperti pengubahan wang haram dan jenayah antarabangsa secara sistematik.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Fadil Marsus, menegaskan bahawa kumpulan triad seperti itu tidak wujud di negara ini.

Menurutnya, kongsi gelap pula boleh mempunyai sehingga 300 ahli tetapi tidak mempunyai struktur organisasi yang teratur.

"Kongsi gelap ini diwarisi sejak beberapa generasi dan melibatkan pelbagai kaum. Antara yang dikenal pasti termasuk Geng 360, 24, 08, 36 dan 77. Mereka bergerak secara tersembunyi, namun tidak seteratur triad," katanya dalam temu bual.

Deputi Komisioner Datuk Fadil Marsus

Fadil berkata, ahli kongsi gelap menggunakan kod dan lambang tertentu untuk berkomunikasi serta mengadakan upacara angkat sumpah sebagai ahli seumur hidup.

Katanya, kongsi gelap mempunyai hierarki sendiri, dengan ketua dikenali menggunakan gelaran seperti Tok Ayah, Ayahanda, Abang Long atau Abang Kawasan, bergantung kepada kawasan pengaruh mereka.

Sementara itu, geng samseng merujuk kepada kumpulan kecil yang beroperasi di kawasan luar bandar.

"Mereka tidak mempunyai nama tetap, sebaliknya kumpulan dinamakan sempena ketua masing-masing. Mereka juga tidak menjalankan upacara angkat sumpah," katanya.

Tambah beliau, walaupun geng samseng ini tidak menimbulkan ancaman keselamatan serius, pihak polis tetap memantau kegiatan mereka yang kebanyakannya membabitkan jenayah kecil seperti pengedaran dadah berskala kecil.

Fadil turut memaklumkan bahawa kongsi gelap dan geng samseng sudah lama wujud di negara ini, dengan keanggotaan daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Sebelum ini, The Star melaporkan bahawa Bukit Aman sedang menggesa penggubalan undang-undang lebih ketat bagi membanteras peningkatan kegiatan keganasan membabitkan kumpulan geng di Malaysia.

Difahamkan, ada kumpulan yang kini giat merekrut ahli baharu melalui media sosial.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram