
PADA 2008, Nurul Zulkilfi dan dua adik perempuannya, Amirah dan Syahira, mengasaskan Mimpikita, jenama sederhana kontemporari dengan potongan pakaian indah dan elegan.
Rangkaian ciptaannya termasuk koleksi sedia untuk dipakai, pengantin dan persalinan ditempat serta potongan untuk kanak-kanak.
Pada 2023, mereka memperkenalkan jenama baharu, Kita&Co yang menampilkan potongan kasual bergaya yang meliputi pakaian untuk lelaki.
Selama 17 tahun, tiga beradik perempuan itu sentiasa berusaha memperkenalkan jenama tersebut sehingga dikenali dan dihormati dalam dunia fesyen tempatan.
Malah, kejayaan yang digapai turut diraih ketika mereka memainkan peranan membangunkan keluarga masing-masing sebagai isteri dan ibu
"Kami percaya pada pendekatan kolaboratif untuk sumbang saran dan membangunkan koleksi kami," kata Nurul, 43, yang memegang peranan selaku ketua pegawai eksekutif dan pengarah kreatif Mimpikita.
Sebagai kakak yang paling tua daripada tiga beradik tersebut, beliau menjalankan tugas dengan bekerja rapat bersama pasukan pemasaran, reka bentuk dan pengeluaran untuk menterjemahkan idea kepada karya unik dan boleh pakai yang mencerminkan identiti jenama, selain menerajui hala tuju kreatif mereka.
“Amirah (ketua pegawai operasi), yang terkenal dengan sikap teliti dan terperinci menyelia operasi untuk memastikan setiap proses pakaian dan penjualan memenuhi standard kualiti kami.
"Syahira (ketua pegawai kewangan) membawa perspektif yang kukuh, membimbing kami dengan kepakarannya dalam kewangan dan membuat keputusan strategik,” katanya.
Tahun ini, koleksi Raya 2025 jenama itu, Mekar dan Kekal dan Tenang meraikan warisan, daya tahan dan gaya hidup tenang sambil menawarkan gabungan reka bentuk tradisi serta keanggunan moden.
1. Apakah yang memberi inspirasi kepada koleksi terbaharu, dan bagaimana anda mencari idea baharu selepas hampir dua dekad dalam industri?
Koleksi ini terasa peribadi kepada saya dan pasukan - ia mencerminkan fasa yang telah kami lalui, cabaran yang kami hadapi dan cara kami bertahan.
Kami mendapat ilham daripada Tiang Seri, iaitu ruang tengah dalam seni bina tradisional yang berdiri kukuh, menyatukan segala-galanya bersama-sama melalui segala rintangan dan cabaran.
Ia seperti satu simbol ketabahan sempurna, sama seperti cara kita menghadapi pasang surut kehidupan.
Nurul (tengah) dan dua adik perempuannya, Syahira (kiri) dan Amirah (kanan) mengasaskan jenama itu pada 2008.
Motif cetakan diambil daripada butiran indah tiang dan gerbang lama yang dibayangkan semula untuk menceritakan kisah kekuatan dan pertumbuhan.
Idea untuk inspirasi baru selepas hampir dua dekad timbul daripda pelbagai cara termasuk menerusi proses penyelidikan trend, analisis koleksi lepas, mendengar maklum balas pelanggan dan mengumpul input daripada pasukan.
Aktiviti mengembara dan mengalami budaya berbeza juga memberi saya perspektif baharu.
Adalah penting untuk kekal mempunyai rasa ingin tahu dan terbuka kepada kisah yang boleh diterjemahkan melalui rekaan
2. Bagaimanakah estetika reka bentuk anda berkembang selama bertahun-tahun, dan adakah tempoh tersebut turut mengubah visi kreatif anda?
Estetika rekaan saya berkembang secara semula jadi selama bertahun-tahun, dipengaruhi oleh perubahan arah trend dan cerapan yang dikumpulkan melalui analisis data.
Walaupun kami menyesuaikan diri dengan apa yang terkini, visi kreatif kami kekal berakar pada DNA jenama kami - sama ada melalui cetakan signatur kami, siluet atau gaya keseluruhan.
Ia adalah mengenai mencari keseimbangan antara kekal relevan dan setia kepada idea asal dalam memastikan setiap koleksi terasa segar tetapi tetap dengan identiti kami.
3. Bagaimanakah anda melihat pertumbuhan jenama Malaysia yang baru muncul, dan apakah cabaran atau peluang dihadapi pereka tempatan?
Industri fesyen tempatan mengalami pertumbuhan dan transformasi yang luar biasa sejak kami bermula.
Apabila kami melancarkan jenama kami, permintaan dalam fesyen tempatan dapati dirasai tetapi landskapnya agak berbeza.
Tahap kesedaran dan penghargaan kepada pereka Malaysia dan jenama tempatan masih agak rendah sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Bagaimanapun, selama bertahun-tahun, kami menyaksikan kemajuan ketara dalam beberapa aspek seperti pemasaran digital, media sosial, acara jualan hujung minggu dan kedai dalam talian yang menyumbang kepada permintaan yang semakin meningkat untuk menyokong jenama tempatan.
Nurul memegang peranan selaku ketua pegawai eksekutif dan pengarah kreatif Mimpikita.
Cabaran bagi kami sekarang adalah untuk mengikuti aliran fesyen yang sentiasa berubah dan memenuhi kepuasan pelanggan – kami sentiasa perlu lebih pantas berbanding semasa kami bermula.
Sebagai jenama tempatan, kami berbangga kerana telah menyumbang kepada perjalanan ini dan teruja dengan pertumbuhan berterusan serta potensi fesyen Malaysia di peringkat nasional dan global.
4. Dalam landskap fesyen yang sentiasa berubah, bagaimana anda kekal relevan sambil mengekalkan kemapanan jenama anda?
Untuk kekal relevan, anda perlu lebih dariada sekadar mengikuti trend fesyen - ia juga tentang memahami perubahan dalam pemasaran, media sosial dan penjenamaan peribadi.
Saya percaya terhadap kepentingan untuk mempunyai pasukan yang positif dan kreatif dengan membawa idea-idea segar ke hadapan.
Bersikap terbuka kepada perspektif baharu dan pembelajaran berterusan membantu kami menyesuaikan diri sambil kekal dengan nilai teras jenama kami, memastikan kedua-dua perkaitan dan jangka hayat.
5. Bagaimanakah pengguna Malaysia bertindak balas terhadap trend slow fashion dan ciri kelestarian dalam fesyen? Bagaimana pereka boleh mengalihkan pemikiran mereka ke arah pendekatan yang lebih cakna?
Daripada pengalaman saya, pengguna Malaysia semakin sedar tentang kepentingan slow fashion dan kelestarian.
Bagaimanapun, perubahan itu berlaku secara beransur-ansur.
Bagi saya, ia bermula dengan menganalisis data untuk mengelakkan pengeluaran berlebihan dan memahami gelagat pengguna – seperti demografi dan permintaan mereka – sebelum mengeluarkan koleksi baharu.
Menurut Nurul, estetika rekaan Mimpikita berkembang secara semula jadi selama bertahun-tahun.
Ia bukan hanya tentang mencipta rekaan baharu untuk kepentingannya; ia mengenai menawarkan pakaian yang praktikal, berdaya tahan dan kekal boleh dipakai selama bertahun-tahun.
Pereka bagi saya boleh berdepan perubahan tersebut dengan cara memberikan fokus pada kualiti, versatiliti dan praktikaliti.
6. Pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan Gen-Z terhadap pemakaian untuk acara atau majlis berbanding generasi lama daripada segi kos, kelestarian dan trend?
Gen-Z melihat pemakaian majlis dengan memberikan tumpuan pada keperibadian, kemapanan dan nilai.
Tidak seperti generasi lama yang cenderung kepada gaya klasik dan jangka panjang, Gen-Z lebih bereksperimen, menggabungkan trend berani dengan gaya peribadi untuk mencipta penampilan menonjol.
Mereka juga lebih peka mengenai kos tetapi tetap bersedia untuk melabur dalam karya serba boleh dan berkualiti, selaras dengan nilai etika dan kelestarian.
Menyewa, berjimat cermat, atau menyokong jenama yang mementingkan alam sekitar adalah perkara biasa, sekali gus mencerminkan komitmen mereka terhadap penggunaan yang bijak.
Media sosial juga membentuk pilihan mereka, dengan penekanan pada pakaian yang asli dan menarik secara visual, menjadikan gaya pakaian mereka kurang bergantung kepada tradisi tetapi sebaliknya lebih banyak mengenai ekspresi diri.
Gen Z memberi inspirasi kepada kami untuk membangunkan Kita&Co yang meraikan keperibadian dan keselesaan melalui gaya sedia untuk dipakai bagi semua jantina. — The Star/NASA MARIA ENTABAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram