Warner Music Malaysia berhasrat perluas pengaruh artis tempatan, fokus utama pasaran Nusantara


  • Bizz
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Dinesh berkata, Warner Music Malaysia sememangnya mempunyai misi untuk membantu mengembangkan bakat dan karya pemuzik tempatan ke luar dari Malaysia.

INDUSTRI muzik negara mencatat sejarah baharu pada tahun lalu apabila mencapai pendapatan sebanyak RM339 juta, sekali gus mengatasi rekod pendapatan tertinggi pernah diperolehi sebelum ini iaitu RM315 juta pada 1996.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia (Warner), Dinesh Ratnam berkata, pencapaian itu dipacu oleh kewujudan platform digital penstriman seperti Spotify dan YouTube.

Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk pendapatan diperolehi daripada penganjuran konsert.

"Jadi, semakin ramai orang yang mendengar di dalam talian dan mula melanggan Spotify dan turut menggunakan YouTube.

"Sesetengah pengguna juga menemui muzik daripada TikTok. Jadi semakin banyak pengguna mendengar di platform dalam talian, semakin berkembang  industri muzik.

"Ini kerana apabila platform terbabit mendapat pendapatan daripada pendengar, mereka akan berkongsikannya kepada artis dan rekod label," katanya Ketika pertemuan santai Bersama media baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dinesh berkata, sebagai sebuah syarikat rakaman, Warner Music Malaysia sememangnya mempunyai misi untuk membantu mengembangkan bakat dan karya pemuzik tempatan ke luar dari Malaysia.

Sebagai langkah pertama, beliau berkata, pihaknya kini sedang meneroka potensi di rantau Nusantara khususnya di negara seperti Singapura dan Indonesia yang berkongsi bahasa sama.

"Malah, kita juga melihat beberapa artis seperti Masdo sudah mempunyai kumpulan peminat yang kukuh di kedua-dua negara terbabit.

"Kemudian lagu Sarah Suhairi bertajuk Sah turut mempunyai hingga 50 juta penstriman dan banyak daripada Indonesia," ujarnya.

Majoriti turut menemu bual Dinesh untuk bertanyakan mengenai antaranya kemapanan perkembangan industri muzik Malaysia dan juga langkah diambil Warner Music Malaysia untuk membawa bakat dan artis tempatan ke luar negara.

Dinesh (tengah) ketika dalam satu pertemuan santai bersama media baru-baru ini. 

1. Dengan rekod terbaharu yang dicapai oleh industri muzik negara ini, adakah anda menjangkakan bahawa trend ini akan berterusan?

Ya, kita memang jangkakan trend ini akan terus berkembang dan saya rasa kita sangat teruja kerana setiap hari semakin ramai orang beralih ke platform digital tidak kira yang tua atau muda.

Dengan penggunaan digital yang semakin meningkat, lebih ramai orang akan menggunakan sumber digital untuk mendengar muzik. 

Jadi, kita fikir akhirnya lebih ramai orang akan mula membayar untuk mendengar muzik. Ini akan membawa lebih banyak pendapatan. Trend ini jelas akan terus meningkat.

2. Mengenai usaha untuk membawa artis Malaysia keluar, apakah pelan rancangan Warner Music Malaysia untuk mencapai matlamat tersebut?

Kita telah mengenal pasti beberapa artis berpotensi untuk mencapai lebih banyak kejayaan di luar Malaysia, dan salah satunya tentunya adalah Masdo.

Masdo mempunyai kumpulan peminat yang besar di Indonesia. Tahun lepas, pada satu ketika, mereka mencatatkan hingga 1.5 juta pendengar sebulan di Spotify dari Indonesia. 

Jadi, tahun lepas, kami telah membawa mereka ke Indonesia untuk buat promosi, dan sambutan dari peminat memang sangat kuat.

Kami akan melihat artis mana yang berpotensi untuk menghasilkan lagu yang sesuai dengan pasaran mereka kerana kita perlu menilai genre dan gaya. 

Jadi, jika lagu, bakat, kemampuan untuk buat persembahan, dan genre artis itu sesuai dengan pasaran, kami akan melabur. 

Kemudian, cara kami melabur salah satunya adalah melalui kerjasama dengan komposer, penulis lagu, atau artis dari Indonesia. Itu adalah satu bentuk kerjasama. 

Kedua, kami akan melabur untuk membawa artis ini dari Malaysia ke Indonesia untuk mengadakan jelajah promosi di sana untuk memberi peluang mereka bersemuka dengan peminat.

TikTok juga memang membantu kerana ia memudahkan penemuan artis, tetapi hubungan sebenar hanya akan terjalin apabila anda membawa artis itu ke Indonesia dan bertemu media dan peminat di sana. 

Ketiga, kami juga mempunyai pasukan di Indonesia. Jadi kami akan bekerjasama lebih rapat dengan pasukan Warner Music di sana untuk mencari sudut terbaik dalam promosi.

3. Apakah ciri genre, muzik atau artis yang dicari oleh Warner Music untuk dikembangkan dan mendapat penerimaan di luar Malaysia?

Masdo merupakan antara artis tempatan yang mula membina tapak di luar Malaysia. — Masdo

Berdasarkan pengalaman kami dalam industri muzik, kita kena lihat beberapa faktor seperti bahasa, genre, dan personal branfing artis itu sendiri. 

Dari tiga perkara ini, kita boleh kenal pasti pasaran mana yang akan "resonate" atau serasi dengan gaya mereka. Ini adalah penilaian yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

Daripada segi genre, ada genre tertentu yang boleh mencapai audiens global. Contohnya, hip hop yang mana peminatnya ada di seluruh dunia dan menjadi sebahagian daripada budaya hip hop itu sendiri.

Jadi, walaupun sesetengah orang mungkin tidak memahami bahasa yang digunakan dalam lagu hip hop, mereka tetap boleh menikmati muzik tersebut kerana budaya hip hop itu merentas batasan bahasa. 

Bagaimanapun, genre pop sedikit berbeza, terutama untuk lagu balada yang lebih menekankan pada lirik. Jika pendengar tidak faham Bahasa dan lirik tersebut, sukar untuk mereka menembusi pasaran itu.

4. Bagaimana anda melihat daripada segi potensi dimilik oleh lagu berbahasa Melayu untuk mendapat sambutan di luar?

Saya rasa untuk lagu Bahasa Melayu, potensi terbesar buat masa ini adalah di rantau Nusantara, seperti yang saya katakan tadi – Malaysia, Singapura, dan Indonesia. 

Ini kerana Indonesia merupakan negara dengan populasi keempat terbesar di dunia. Pasaran mereka memang besar, dan bahasa yang digunakan pun sangat serupa.

Jadi, walaupun matlamat kita adalah untuk pergi ke global, kita perlu pecahkan matlamat itu tersebut kepada langkah lebih realistik dan tindakan yang boleh dilaksanakan. 

Untuk jangka masa pendek hingga sederhana, kami ingin fokus pada pasaran Nusantara. Jadi, bila kami menandatangani artis Malaysia, kami mahu bekerja bersama mereka untuk melihat pasaran Malaysia, Singapura, dan Indonesia sebagai satu pasaran, iaitu pasaran Nusantara.

Jadi, kita tidak boleh hanya berfikir 'saya nak lagu hit di Malaysia saja'. Kita perlu fikirkan untuk mencipta lagu hit di ketiga-tiga negara ini. Itu adalah perubahan persepsi yang perlu ada.

Lagu Bahasa Melayu memang mempunyai potensi besar di Nusantara, dan kita sudah melihat beberapa kejayaan. Namun, kita masih boleh memperluaskan kejayaan tersebut. Dari situ, kita boleh terus membina dan berkembang lebih jauh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram