
DALAM tempoh 25 tahun lalu, jumlah jemaah umrah dari Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 900 peratus dengan anggaran 270,000 orang menunaikan ibadah itu setiap tahun.
la mencerminkan pertumbuhan ketara dalam kecenderungan menunaikan umrah berbanding jumlah jemaah dicatatkan melakukan ibadah tersebut pada 1998 iaitu sekitar 30,000.
Hak istimewa pelancong Malaysia diberi oleh Kerajaan Arab Saudi seperti menggantikan visa umrah dengan visa pelancong turut membolehkan penurunan harga pakej umrah.
BACA LAGI: 120 jam tangan edisi khas M. Nasir laris, Artwist.Co tepis skeptikal kualiti jenama tempatan
Usaha ini sekali gus menjadikan tempahan perjalanan umrah lebih mudah dan fleksibel.
Bagaimanapun, di sebalik kemudahan tersebut, faktor kemampuan kewangan masih terus menjadi isu membantukan hasrat ramai umat Islam khususnya di Malaysia bagi mengerjakan ibadah tersebut.
Bagi sesetengah individu, kos perlu dikeluarkan itu dilihat masih agak membebankan untuk ditampung bagi membolehkan mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Pengarah Andalusia, Ida Riswana Idris.
Di samping itu, kes melibatkan jemaah umrah ditipu oleh syarikat pengendali turut menjadi antara kebimbangan yang merisaukan rakyat Malaysia termasuk kumpulan yang berhasrat untuk mengerjakan ibadah berkenaan.
Secara keseluruhan, dari 2019 hingga Mei 2024, Polis Diraja Malaysia telah membuka 252 kertas siasatan berkaitan penipuan umrah, dengan jumlah kerugian mencecah RM9.81 juta.
Bagi menangani dua isu tersebut, dua entiti iaitu Hong Leong Islamic Bank (HLISB) dan Andalusia Travel & Tours (Andalusia) tampil bekerjasama bagi menyediakan pembiayaan patuh syariah kepada bakal jemaah yang mahu menunaikan umrah.
Selain sudah melalui proses penilaian Panel Kajian Syariah (PKS) bersama Muzakarah Jawatankuasa Farwa Kebangsaan (MJKF) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) anjuran Jakim, kolaborasi pembiayaan terbabit turut mematuhi panduan kawal selia telah ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Produk perkhidmatan itu melibatkan pembiayaan Peribadi-i hingga RM150,000 dan Akaun Pay & Save-i.
Mengulas mengenai manfaat kerjasama tersebut, Pengarah Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, langkah itu adalah selari dengan misi syarikatnya yang mahu menyediakan perkhidmatan umrah yang berpatutan dan berkualiti kepada masyarakat Islam, dengan harapan setiap Muslim dapat menunaikan kewajipan agama tanpa perlu bersusah payah dan rasa bimbang.
Kerjasama dengan HLISB adalah untuk memastikan pelanggan mendapat akses kepada pembiayaan ibadah umrah patuh syariah, digital dan harga berpatutan dengan rangkaian alat serta perkhidmatan kewangan logistik.
Dafinah Ahmed (empat dari kiri) dan Ida (tiga dari kiri) selepas menandatangani perjanjian persefahaman antara HLISB dan Andalusia. — HLISB
"Kami percaya usaha ini akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam mengurus kewangan mereka secara berkesan dalam era digital masa kini sambil menunaikan kewajipan agama dengan asas kewangan patuh syariah.
"Kolaboratif ini sangat tepat pada waktunya kerana umat Islam boleh mendapatkan cara mudah bagi mencapai matlamat menunaikan umrah dan haji," katanya.
Menyentuh mengenai kebolehan bagi umat Islam untuk berhutang bagi menunaikan umrah dan haji, Ida berkata, perkara itu telah berkali-kali dirujuk dalam Muzakarah Haji dan fatwa kebangsaan yang memutuskan ia dibolehkan dan diharuskan dengan pematuhan beberapa syarat.
"Pertama, pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba.
"Kedua, pemohon hendaklah mempunyai pendapatan melebihi sara diri dan orang yang dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah umrah atau haji," katanya.
Menurut Ida, pembiayaan umrah atau haji itu berlandaskan kepada konsep pembayaran bertangguh atau deferred payment bagi memudahkan pengurusan kewangan peribadi pemohon di samping memenuhi keperluan mengerjakan ibadah dengan tenang tanpa perlu bertangguh atau menjual segala harta.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISH, Dafinah Ahmed Hilmi.
Syarat ketiga jelasnya adalah faktor masa yang memerlukan pembiayaan dibuat atas dasar menyegerakan perintah ALLAH dalam melaksanakan Rukun Islam semata-mata.
"Pakej pembiayaan ini berlandaskan hukum Murabahah Tawarruq membolehkan mereka yang layak bawah hukum istito'ah untuk menunaikan umrah atau haji secara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh," ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISH, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, antara syarat utama pembiayaan tersebut adalah mereka yang memohon perlu berumur 18 tahun dan ke atas.
Seperti polisi lazim bank bagi sesuatu pembiayaan, beliau berkata, pihaknya turut memerlukan beberapa dokumen seperti penyata gaji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Jika memohon RM10,000 misalnya, dan kami lihat mereka layak setakat RM8.000 sahaja, maka kami akan mencadangkan pembiayaan setakat itu sahaja.
"Bagi mereka yang tidak mempunyai penyata gaji atau bekerja sendiri mereka boleh mengemukakan dokumen berkaitan yang membolehkan kami mengakses kemampuan.
"Pembiayaan ini hanya memerlukan komitmen bayaran bulanan serendah RM125 selama lima tahun," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram