
"BAGI saya, seni membuat wau ini sangat mahal dan tak boleh dinilai dengan wang ringgit."
Demikian kata-kata daripada Mohd. Razi Mohd. Said mengenai minatnya sejak lebih sedekad lalu.
Tiga jenis wau menjadi kepakaran beliau ialah wau bulan, wau kucing dan wau jala budi.
BACA LAGI: 3 tahun 'berumah' di gudang, turun naik bas Ipoh ke KL, jerih perih sedekad Azzim demi Bulan Bintang
BACA LAGI: Bukan sukan mahal, bekas atlet tenis profesional negara teroka potensi pickleball di Malaysia
Mohd. Razi merupakan anak jati Kuala Lumpur merupakan salah seorang pembuat wau tradisional yang masih aktif di negara ini.
Bagaimanapun, perjalanannya untuk menjadi pembuat wau yang dikenali di Malaysia tidak semudah disangka, apatah lagi beliau melakukan aktiviti itu secara sambilan.
Ini kerana pada waktu siang, Mohd Razi yang menetap di Selayang, Selangor bertugas sebagai pekerja penghantaran dan kerani di syarikat firma guaman sekitar Lembah Klang.
Lazimnya, beliau mula melakukan aktiviti membuat wau yang memerlukan ketelitian cukup tinggi itu pada waktu malam sehingga lewat pagi.
Disebabkan kehalusan seni diterapkan pada wau, kebiasaannya beliau memerlukan masa hingga enam bulan untuk menyelesaikan seunit wau bersaiz standard.
Razi menunjukkan wau bulan yang dihasilkannya.
Sehingga hari ini, bapa kepada tiga cahaya mata itu sudah menghasilkan kira-kira 70 ekor wau dengan kebanyakannya bukan untuk dijual.
Bagaimanapun, Mohd Razi, 53, menyediakan perkhidmatan menyewa wau dimiliki kepada pihak yang mahu melakukan aktiviti pameran dan perhiasan acara.
Majoriti menemu bual Mohd Razi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjuangan beliau memartabatkan seni wau tradisional.
1. Boleh ceritakan mengapa anda tertarik dengan seni pembuatan wau?
Minat terhadap wau ini bermula sekitar 2005 ketika baru berkahwin.
Sebelum berkahwin, hobi saya menunggang motor besar. Tapi minat itu ditinggalkan selepas mendirikan rumah tangga dan fokus pada kerja.
Kemudian, satu hari, ketika beriadah di Taman Layang-Layang Metropolitan Kepong, saya terjumpa seorang individu bermain wau.
Waktu itu saya cukup teruja, selain seni ukiran halus, wau yang dihasilkan mempunyai bunyi dan gerakan unik apabila diterbangkan.
Mohd Razi ketika menyertai Pesta Wau Antarabangsa Kelantan pada 2023. — Facebook/RaziSaid
Selepas itu, saya pun beli wau daripada individu tersebut pada harga RM300. Nak dijadikan cerita, wau itu patah dan koyak, untuk beli baru mahal.
Jadi bermula daripada situ, saya mula belajar sedikit demi sedikit cara membaiki wau.
Selepas beberapa bulan barulah saya berjaya baik pulih sehingga ia dapat diterbangkan semula.
Daripada situlah terbit kepuasan dan timbul minat terhadap seni pembuatan wau.
2. Berapa lama masa yang diambil untuk menguasai kemahiran membuat wau?
Saya mengambil masa enam tahun untuk belajar membuat wau secara serius. Sepanjang tempoh itu, berguru dengan lapan orang sifu agar memahami seni pembuatan wau sepenuhnya.
Sepanjang tempoh tersebut, saya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke pelbagai lokasi.
Bukan sahaja Kelantan, saya turut berguru di Johor, Terengganu, Kedah dan Perlis kerana hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai rekaan wau tersendiri.
Minat saya semakin mendalam, dan pada 2010, saya berjinak-jinak menyertai pertandingan.
Sebagai anak jati Kuala Lumpur, saya tidak biasa dengan budaya permainan tradisional seperti ini.
Tapi daripada pertandingan saya dapat kumpul pengalaman dan belajar teknik yang betul. Menariknya, saya satu-satunya peserta dari Kuala Lumpur serius dalam permainan wau.
Kehalusan seni wau memerlukan proses kerja yang rumit dan teliti.
Dalam tempoh enam tahun itu, saya banyak berulang-alik menghadiri pameran dan melihat sendiri bagaimana teknik digunakan oleh pemain lain. Saya belajar dengan memerhati cara mereka membuat wau dan memahami setiap proses.
Lebih mencabar, tidak semua pembuat wau mahir dalam menerangkan proses pembuatan. Ada yang sangat hebat dalam membuat wau, tetapi tidak mampu menjelaskan teknik atau berkongsi ilmu.
Ada juga hanya pandai membuat asas seperti meraut buluh, tetapi tidak mahir aspek lain.
3. Apakah yang memberi motivasi kepada anda untuk meneruskan minat ini lebih serius?
Bagi saya yang paling penting adalah minat. Saya buat wau bukan untuk tujuan penjualan. Ia lebih kepada usaha meluaskan budaya supaya lebih ramai tahu mengenai permainan tradisional ini.
4. Boleh kongsikan mengenai proses pembuatan wau?
Pembuatan wau tradisional hanya memerlukan empat alatan asas iaitu kertas, buluh, pisau dan gam.
Prosesnya bermula dengan menyiapkan lukisan berdasarkan motif yang dipilih berkonsepkan awan larat.
Biasanya motif digunakan tumbuhan-tumbuhan di Malaysia seperti seri pagi atau peria.
Paling rumit dan halus adalah proses menebuk dan mewarna di atas permukaan kertas yang nipis menggunakan pisau.
Mohd Razi turut menerima kehadiran mana-mana kumpulan atau individu yang ingin mempelajari kemahiran membuat wau. — Facebook/RaziSaid
Ia melibatkan tiga lapisan ukiran dan warna untuk diselesaikan dengan melalui proses tebuk dan tampal sebanyak beberapa kali.
Jadi, proses untuk menyiapkannya biasa memakan masa enam bulan.
Itu untuk ukuran wau standard sebesar 48 inci (1.219 meter).
5. Apakah wau buatan anda paling mahal pernah terjual?
Wau saya pernah dibeli pada nilai RM9,000 oleh seorang lelaki warga Perancis.
Dia yang bekerja di Malaysia waktu itu memang minat terhadap wau bukan sahaja sebagai hiasan, tetapi satu permainan.
Wau yang diminatinya adalah wau kucing dan wau bulan.
Harga itu dia tawarkan dan saya terima saja kerana tidak pernah berniat menjual koleksi wau yang dihasilkan.
Warga Perancis itu amat mengagumi bagaimana wau bercorak rumit boleh terbang dengan baik.
Pada mulanya, pembeli berkenaan menyangka wau hiasan dinding sehinggalah saya menunjukkan demonstrasi menerbangkannya terus dia tertarik.
6. Sejak aktif menghasilkan wau pada 2005, bagaimana anda melihat penerimaan orang Malaysia terhadap seni tradisional ini?
Dari segi penerimaan ia semakin baik. Tambahan pula, banyak acara dan pameran mula menggunakan wau sebagai hiasan dan demonstrasi seni.
Sebabnya wau kini dilihat sebagai simbolik melambangkan tradisi seni negara.
Saya juga pernah dijemput menunjukkan cara-cara pembuatan wau pada acara kendalian jenama dan pusat beli-belah terkenal.
Mohd Razi bergambar bersama pengunjung ketika mengadakan pameran di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang. — Facebook/RaziSaid
7. Biasanya berapakah sewa yang dikenakan untuk koleksi wau anda?Untuk sewaan lazimnya saya caj RM50 seunit wau untuk sehari.
Paling tinggi, saya pernah menerima kadar sewaan sebanyak RM25,000 untuk mempamerkan 20 ekor wau koleksi peribadi di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang selama sebulan.
Jumlah itu tidak termasuk bayaran untuk menjalankan bengkel pembuatan wau di pameran tersebut.
8. Bagaimana anda melihat masa depan seni pembuatan wau di Malaysia?
Wau adalah simbolik kepada Malaysia. Ia merupakan seni warisan yang perlu diangkat dan dipelihara. Seni ini sangat unik dan menjadi identiti orang Melayu.
Sebab itu, kita perlu menjaga dan meneruskannya agar tidak hilang ditelan zaman. Jika kita terus menghasilkan sesuatu yang unik, mempamerkan seni jarang dibuat orang, insyaALLAH ia tidak luput daripada masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram