Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online


  • Bizz
  • Khamis, 20 Mac 2025

Antara tukang jahit yang sedang menyelesaikan tempahan pakaian pelanggan di Pasar Rakyat.

BAGI tukang jahit, musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri merupakan fasa paling sibuk dan mencabaran.

Dalam tempoh tersebut permintaan menyiapkan pakaian baharu lazimnya menunjukkan peningkatan ketara berbanding bulan-bulan biasa.

Di Kuala Lumpur, antara lokasi menjadi pilihan orang ramai membuat tempahan baju raya adalah terletak di Medan MARA, Jalan Raja Laut.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Di samping kewujudan pelbagai butik pakaian baju Melayu, aras menara berkenaan turut menempatkan Pasar Rakyat, pusat sehenti menghimpunkan puluhan tukang jahit baik untuk pakaian lelaki, wanita mahupun kanak-kanak.

Namun, sejak beberapa tahun lalu, kemeriahan jualan dan tempahan di lokasi tersebut dikatakan semakin merosot.

Situasi itu disumbangkan dek pelbagai faktor antaranya lambakan koleksi baju ready-to-wear (RTW) di pasaran dan persaingan jualan di platform talian termasuk media sosial yang menawarkan harga lebih rendah.

Tinjauan Majoriti di Medan MARA mendapati jumlah kehadiran pengunjung agak lengang meskipun pada waktu cuti umum.

Keadaan sama juga dapat dilihat di ruang Pasar Rakyat dengan tidak semua premis tukang jahit beroperasi.

Norhayati sudah beroperasi di Pasar Rakyat sejak 30 tahun lalu. 

Tempahan merosot

Norhayati Malik, 60, mengakui jumlah tempahan diterima ketika ini sememangnya jauh berbeza berbanding ketika beliau bermula kira-kira 30 tahun lalu.

"Kalau dulu, tiga bulan sebelum puasa kami sudah tidak ambil tempahan," ujarnya.

Tambah beliau, ketika itu, mereka perlu menyelesaikan sekitar 300 pasang pakaian dengan jumlah purata baju kira-kira 15 pasang perlu disiapkan dalam sehari.

"Tapi sekarang ini berbeza sangat kerana kebanyakan pelanggan cenderung beli baju di TikTok, lebih murah.

"Jadi pelanggan yang tempah baju biasanya mereka betul-betul nak pakaian sesuai dengan ukuran badan," jelasnya yang turut mengakui pakaian tempah lazimnya lebih mahal berbanding RTW kerana boleh mencecah harga lebih RM400 sepasang.

Mengulas mengenai trend rekaan pakaian raya wanita tahun ini, beliau berkata, ramai pelanggan mula kembali meminati gaya era 1990-an.

"Jika tahun lalu, ramai meminati rekaan hiasan renda, tapi kali ini pelanggan menyukai perincian manik dan sulam," jelasnya yang turut mendedahkan jumlah pendapatan pernah diperoleh boleh mencecah RM50,000 sebulan pada zaman kemuncak peniagaan di Pasar Rakyat.

Sementara itu, seorang lagi tukang jahit, Hasniza Husin, 40, berkata, jumlah penurunan tempahan itu dirasai selepas pandemik Covid-19.

Hasniza mengakui jumlah tempahan semakin merosot selepas pandemik Covid-19.

Beliau yang sudah berniaga di situ sejak 18 tahun lalu memaklumkan, sebelum pandemik, beliau menerima lebih 100 tempahan pakaian ketika musim raya.

"Kalau macam sekarang ini boleh dapat dalam 80 pasang sahaja.

"Tapi kami ambil juga perkhidmatan jahit sulam dan manik," ujarnya yang mengakui persaingan dengan jualan online turut menyumbang kepada kemerosotan tersebut.

Oleh itu, bagi menampung kos operasi kedai jahitnya, ibu kepada tiga anak tersebut turut menyediakan perkhidmatan mencetak rekaan pakaian atau sublimation kepada pelanggan.

Bergerak ke dalam talian

Sementara itu, seorang lagi tukang jahit di Pasar Rakyat, Shahrul Nizam Darus, juga mempunyai ceriteranya tersendiri.

Beliau yang memiliki jenama pakaian kurta moden, BYLUTF mula beroperasi di premis tersebut sejak lima tahun lalu.

Shahrul menyiapkan kurta moden keluaran jenamanya yang dijual secara dalam talian.

Shahrul berkata, sama seperti tukang jahit lain di situ, beliau pada awalnya hanya mengambil tempahan pakaian daripada pelanggan.

Bagaimanapun, selepas menyedari permintaan tinggi terhadap pakaian RTW, beliau mengambil keputusan beralih menjual pakaian konsep tersebut.

"Walaupun permintaan terhadap pakaian ditempah masih ada, tapi ia bermusim.

"Untuk tempahan pakaian RTW , permintaannya ada sepanjang tahun," jelasnya yang memaklumkan jumlah jualan kurta moden musim perayaan boleh mencecah 1,000 pasang sementara bulan biasa pula antara 200 hingga 300 pasang.

Pada waktu ini, Shahrul berkata, kurta moden keluaran jenamanya dijual di platform Shopee dan TikTok.

Abdol Hakim baru dua tahun menjalankan bisnes menjahit pakaian di Pasar Rakyat. 

Dalam pada itu, Abdol Hakim Abdol Rahman, 33, tidak melihat persaingan jualan online sesuatu yang membimbangkan.

"Kedua-duanya ada kebaikan dan kekurangan. Untuk yang suka tempah secara fizikal, mereka boleh sesuaikan ikut potongan saiz badan.

"Jadi saya fikir tiada masalah pun asalkan pakaian yang ditempah dihasilkan dengan kualiti memuaskan," ujarnya yang baru bertapak di situ selama dua tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram