
PENDUDUK di Jalan Bestari 99, Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, Johor, dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan perumahan tersebut selepas hujan lebat pada Sabtu.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan di Facebook, Community Roda Johor - CRJ penduduk mendakwa kejadian yang pertama kali berlaku itu didakwa berpunca daripada kerja pembinaan yang dilakukan di taman berdekatan kawasan itu.
BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?
"Nak buat aduan, Taman Mutiara Rini, Jalan Bestari 99 berdekatan stadium JDT (Stadium Sultan Ibrahim (SSI)), berlaku banjir kilat disebabkan pembinaan taman sebelah dan pelebaran jalan.
"Kontraktor tak buat saliran air yang betul, pokok-pokok pun dah banyak kena tebang, harap dapat sebarkan dan pihak berkuasa MBIP (Majlis Bandaraya Iskandar Puteri) dapat pantau," ujar hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Community Roda Johor - CRJ turut memuat naik video memaparkan insiden banjir yang berlaku di persimpangan jalan dan hadapan rumah penduduk di perumahan tersebut.
Menerusi klip tersebut, air yang naik juga dilihat berwarna keruh.
"Tak pernah lagi banjir kilat macam ini berlaku. Warna air pun merah, dari tanah tapak pembinaan," jelas hantaran itu lagi.
Setakat laporan ini ditulis, masih tiada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram