
LETUPAN dan kebakaran besar yang berlaku di bandar pelabuhan Iran, Bandar Abbas, terletak lebih 1,000 kilometer di selatan ibu negara Tehran dilapor mencederaan ratusan mangsa, menurut pegawai serta media kerajaan.
Media kerajaan Iran pada Sabtu melaporkan kejadian "letupan besar" di Shahid Rajaee, pelabuhan komersial terbesar di negara itu yang terletak di wilayah Hormozgan di selatan Iran.
Wartawan Al Jazeera, Tohid Asadi yang melaporkan dari Tehran, memetik media kerajaan sebagai berkata, jumlah individu cedera meningkat kepada 406, dengan ratusan mangsa dipindahkan ke pusat perubatan berhampiran.
BACA LAGI: Cuaca ekstrem jejas harga kopi dunia, potensi Liberica Malaysia jadi alternatif?
Televisyen negara Iran berkata, laporan awal menunjukkan kecuaian dalam penyimpanan bahan mudah terbakar di tapak itu.
Pengarah organisasi pengurusan krisis wilayah Hormozgan, Mehrdad Hassanzadeh, memberitahu televisyen kerajaan bahawa mereka yang cedera sudah dipindahkan ke kemudahan perubatan.
Beliau berkata, pihak berkuasa keselamatan sebelum ini telah melawat lokasi kejadian, dan mengeluarkan amaran.
Syarikat Penapisan dan Pengedaran Produk Minyak Iran Kebangsaan mengeluarkan kenyataan berikutan letupan itu dan berkata, kemudahan minyak di kawasan berkenaan tidak terjejas oleh letupan terbabit.
CCTV footage showing part of this morning’s explosion at the Iranian port of Bandar Abbas, for which the number of injuries has now surpassed 500. pic.twitter.com/yJl58ZcFvs
— OSINTdefender (@sentdefender) April 26, 2025
"Letupan dan kebakaran di Pelabuhan Shahid Rajaei tidak mempunyai kaitan dengan penapisan, tangki bahan api, kompleks pengedaran dan saluran paip minyak yang berkaitan dengan syarikat ini," kata syarikat terbabit.
Terdahulu, pegawai Pentadbiran Pelabuhan dan Maritim Hormozgan, Esmaeil Malekizadeh berkata, letupan berlaku berhampiran dok pelabuhan Shahid Rajaei.
Video beredar di media sosial memaparkan kepulan asap hitam yang besar dan api marak dari kawasan letupan.
Klip lain menunjukkan kerosakan pada bangunan dan kenderaan di lokasi.
Beberapa individu juga dilihat berada di sekitar kawasan itu bagi merawat mangsa yang cedera dan memeriksa kerosakan harta benda.
Pelabuhan Shahid Rajaei mempunyai pengkhususan dalam mengendalikan trafik kontena dan juga mempunyai tangki minyak serta kemudahan petrokimia lain.
Pada Mei 2020, Israel dituduh melancarkan serangan siber besar terhadap sistem komputer di pelabuhan sama, menjejaskan operasi pengangkutan di kemudahan berkenaan selama beberapa hari selepas.
Letupan itu berlaku pada masa yang sensitif ketika pegawai Iran terus terlibat dalam perbincangan dengan pegawai Amerika Syarikat mengenai kemungkinan perjanjian nuklear baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram