
"SUKA atau tidak, Perak FC kena bermula dari bawah".
Itu pandangan yang dilontarkan oleh pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley susulan keputusan drastik pasukan bersejarah itu menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi menerusi kenyataan rasmi pada Sabtu dengan menyatakan bahawa masalah kewangan serius menjadi faktor utama yang memaksa pasukan berkenaan mengambil langkah tersebut.
BACA LAGI: 'Terima kasih Perak,' fans restu Haziq Nadzli tukar angin ke kelab Borneo
BACA LAGI: ‘Pray for Kedah’, cinta bekas import Sang Kenari masih mekar, sempat titip doa
Perak FC sah tidak beraksi saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Perakfc
Mengulas lanjut, Afiq berkata, sekiranya The Bos Gaurus (TBG) masih mahu terus bersaing dalam kancah bola sepak tanah air, mereka perlu bermula semula dengan melepaskan pemain berstatus bintang yang menjadi beban kewangan.
"Suka atau tidak, mereka kena bermula daripada bawah dan melepaskan pemain-pemain berstatus bintang yang dianggap menjadi salah satu punca Perak dilanda isu kewangan.
"Tak salah untuk bermula semula jika mereka benar-benar mahu lihat Perak terus bernafas, tetapi pengurusan juga perlu selesaikan isu gaji yang tertunggak terlebih dahulu,” katanya kepada Majoriti.
Tambah Afiq, ketiadaan Perak dalam saingan Liga Malaysia musim depan akan memberi kesan besar kepada suasana dan kemeriahan liga kerana Perak adalah sebuah pasukan tradisi yang sarat dengan sejarah dan sokongan padu.
"Perak ini pasukan lama, ada aura dan tarikannya tersendiri. Sama seperti Kedah dan Kelantan, Perak ada penyokong yang setia dan fanatik. Tanpa Perak, kemeriahan bola sepak tempatan pasti terjejas," tambahnya.
Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah (dua kiri) bersama staf kejurulatihan Perak FC. — Facebook/Perakfc
Dalam pada itu, Afiq turut mendedahkan bahawa isu kewangan yang membelenggu Perak bukanlah sesuatu yang baharu, malah sudah mula kedengaran sejak beberapa bulan lalu, cuma tidak diberi perhatian media.
"Isu gaji Perak sebenarnya sudah mula kedengaran beberapa bulan lalu cuma ia tidak begitu dihebohkan.
"Punca sebenar dikatakan kerana masalah dana kewangan daripada penaja selain kos operasi juga menjejaskan pasukan tersebut.
"Tetapi, mungkin ada beberapa lagi masalah yang menyebabkan Perak dilanda krisis sedemikian," ujarnya.
Untuk rekod, Perak FC merupakan antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak tempatan, termasuk memenangi Piala Malaysia sebanyak lapan kali, namun kini berada di ambang kejatuhan akibat krisis kewangan yang membelenggu pengurusan kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram