SPM 2024: Enam daripada 7 subjek teras tunjuk peningkatan prestasi


  • Primer
  • Khamis, 24 Apr 2025

GPN bagi 2024 ialah 4.49, berbanding 4.60 tahun sebelumnya. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan berbanding 2023.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi 2024 ialah 4.49, berbanding 4.60 tahun sebelumnya.

Skor GPN lebih rendah menunjukkan prestasi yang lebih baik.

BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online

BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis

“Seramai 355,933 (94 peratus) calon layak mendapat sijil SPM,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2024 pada Khamis.

“Ini adalah prestasi terbaik sejak 2013 apabila calon-calon perlu lulus kertas Bahasa Melayu dan Sejarah untuk melayakkan diri mendapat sijil,” katanya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.

Azman berkata, 14,179 atau 3.7 peratus calon mencapai keputusan cemerlang, mendapat markah A+, A-, atau A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat daripada 3.1 peratus pada 2023.

Mengulas mengenai analisis mengikut subjek, beliau berkata, 59 daripada 95 mata pelajaran ditawarkan pada SPM 2024 menunjukkan peningkatan prestasi.

"Daripada keseluruhan 95 mata pelajaran bagi SPM 2024, 59 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 30 mata pelajaran menurun, satu mata pelajaran kekal, manakala lima lagi mata pelajaran adalah subjek baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daripada tujuh subjek teras, enam daripadanya iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam merekodkan peningkatan prestasi.

Hanya satu mata pelajaran teras iaitu Pendidikan Moral menunjukkan penurunan prestasi yang tidak signifikan, iaitu sebanyak 0.07 mata.

"Mata pelajaran Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.19 mata, manakala Bahasa Melayu menunjukkan prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.72," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan semua mata pelajaran elektif sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) SPM 2024 menunjukkan peningkatan prestasi.

Ujarnya, mata pelajaran Kimia mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi iaitu sebanyak 0.37 mata GPMP apabila merekodkan 4.52 mata pada 2024 berbanding 4.89 mata pada 2023.

"Bagi mata pelajaran elektrif STEM, Sains Gunaan dan Teknologi, sebanyak 11 daripada 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi

"Lukisan kejuruteraan menunjukan peningkatan tertinggi sebanyak 0.38 GPMP iaitu 3.97 mata pada 2024 berbanding 4.35 mata 2023," ujarnya yang turut memaklumkan 17 daripadamata pelajaran elektif STEM mata pelajaran vokasional turut menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun sebelumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram