[VIDEO] 'Tiga kali CCTV rosak', penghuni kondo di Dengkil bengang, barang kereta hilang walau parkir dalam kawasan ‘guard’


  • Tular
  • Rabu, 16 Apr 2025

Tangkap layar video mengenai dakwaan kecurian yang berlaku di sebuah kondominium di Dengkil Selangor.

PENGHUNI di sebuah kondominium di Dengkil, Selangor melahirkan rasa tidak puas hati susulan beberapa insiden kecurian berlaku di kediaman terbabit yang turut dilengkapi dengan kemudahan kawalan keselamatan.

Dalam insiden tersebut, dia turut mendakwa pihak pengurusan seakan-akan tidak mahu bertanggungjawab terhadap insiden berlaku.

Menurut seorang pengguna TikTok menggunakan nama akaun, Imfarhana, beberapa komponen kereta milik suaminya yang ditinggalkan di tempat parkir kediaman tersebut dipercayai dicuri dalam tiga kejadian kecurian berasingan yang terjadi bermula Disember tahun lalu.

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

Lebih mengecewakan, dia mendakwa insiden tersebut terjadi di kawasan dalam kondominium terbabit yang berada di bawah pengawasan dan memerlukan kad akses untuk dimasuki.

Bagaimanapun menurutnya, usaha mereka untuk mengenal pasti pelaku kepada kes tersebut menemui jalan buntu dengan pihak pengurusan didakwa tidak memberikan kejrasama yang baik termasuk memberikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang rosak.

"Kereta suami saya diparkir di ruang bawah tanah apartmen (kawasan dijaga dengan kad akses) tempat kami tinggal kerana kereta tersebut rosak. Tetapi pihak yang bertanggungjawab ingin lepas tangan begitu sahaja dengan memberikan kami footage (rakaman) CCTV yang rosak?

"Kemudian, nak saman saya atas sebab membuat hantaran yang mendatangkan fitnah dan boleh menyebabkan nilai hartanah di sini merosot?! Adakah ini masuk akal?

"Kami tidak dipanggil untuk melihat rakaman CCTV tersebut, sebaliknya gambar yang dihantar hanyalah dari pihak polis. Bukan dari pihak yang bertanggungjawab.

"Kami telah membuat laporan mengenai ketiga-tiga kes tersebut, namun tiada tindakan yang munasabah," tulisnya pada hantaranya yang memuat naik video tersebut di TikTok pada Selasa.

Di ruangan komen, wanita tersebut turut memaklumkan mereka sudah pun membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Menjawab soalan warganet, wanita berkenaan juga memaklumkan bahawa usaha mereka untuk mengenal pasti pelaku menerusi CCTV juga gagal kerana alat tersebut didakwa mengalami kerosakan ketika kejadian.

"Tiga kali awal CCTV rosak," tulisnya dengan nada sinis.

Setakat video ini ditulis, video berkenaan sudah mendapat lebih 280,000 tontontan dan lebih 900 komen daripada pengguna TikTok.

Sementara itu, turut tular di media sosial mengenai notis dalaman dikeluarkan pihak pengurusan pada Selasa mengenai dakwaan tersebut.

Di dalam notis tersebut, pihak pengurusan menyifatkan tuduhan mendakwa mereka gagal bertindak atau terlibat dalam insiden tersebut adalah tidak berasas.

"Kami telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kejadian terdahulu dan semasa, termasuk penyerahan semua bukti yang berkaitan.

"Sila ambil perhatian bahawa maklumat dan pemerhatian mengenai kesalahan yang berlaku tidak boleh dikongsi secara terbuka, seperti dinasihatkan oleh pihak polis kerana sifatnya yang sensitif," ujar notis tersebut yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Notis sama turut menyatakan bahawa pihak pengurusan sudah memaklumkan pengadu mengenai tindakan diambil oleh pasukan keselamatan untuk membantu siasatan kes kecurian tersebut.

Sementara itu, ketika laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram