Langkah kerajaan negeri halang jualan vape tak berkesan jika urus niaga 'online' masih aktif


  • Massa
  • Sabtu, 19 Apr 2025

Larangan penjualan vape di peringkat negeri dilihat kurang berkesan ekoran rokok elektronik tersebut masih dijual secara dalam talian. — Getty Image

WALAUPUN kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melarang penjualan rokok elektronik atau vape di dalam negara, keberkesanan langkah itu dipersoalkan susulan masih berleluasa jualan secara dalam talian.

Seorang pengguna Facebook, Shukor Buang, mempersoalkan keberkesanan larangan yang hanya tertumpu kepada penjualan fizikal di premis-premis tertentu, sedangkan pembelian secara dalam talian masih berleluasa.

"Memanglah kerajaan negeri boleh halang penjualan vape tetapi peraturan itu tidak menghalang orang ramai daripada menghisap vape. 

BACA LAGI : Tiada istilah vape lebih selamat, kesan nikotin risiko lahir anak pramatang, organ bayi rosak — Pakar

BACA LAGI : [VIDEO] Tindakan pantas anggota tentera selamatkan budak perempuan hanyut dibawa arus di Ranau

"Mereka beli secara online dan ini juga punca kepada masalah pelajar sekolah rendah pun hisap vape, termasuk perempuan," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Seorang lagi pengguna Facebook, Ashikin Ramli turut senada dengan pendapat Shukor. 

"Susah untuk dibuat sekiranya penjualan vape masih lagi dijual secara dalam talian. Pada masa sama akan lebih banyak vape haram mengandungi bahan terlarang akan terjual.

"Seharusnya,  langkah yang lebih menyeluruh dan berkesan, termasuk penguatkuasaan ke atas penjualan dalam talian, dapat dilaksanakan segera," ujarnya. 

Kerajaan negeri mempunyai ruang dari sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik. 

Terdahulu, media pada Jumaat melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri mempunyai ruang dari sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik. 

Menurut beliau, setakat ini, pihaknya mengambil pendekatan untuk mengawal selia vape secara berfasa melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Kerajaan negeri mereka ada ruang dari sudut peruntukan, perundangan kecil mereka di peringkat negeri jadi saya kira itu adalah satu ketetapan yang dibuat atas dasar polisi yang dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, kerajaan Selangor sedia meneliti keperluan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Ia bergantung peraturan Persekutuan, kita akan dapat laksanakan, cuma saya lihat ia perlu dibawa ke arah perbincangan bersama pihak berkaitan.

"Kalau ada keperluan kita laksanakan, saya perlu dapatkan keseluruhan fakta dan pandangan," katanya pada Jumaat. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram