
DI sebalik tanggungjawab berat, kisah seorang doktor, Teuku Zanadi Aulia Faza mencuri perhatian ramai apabila kisahnya berjalan kaki ke tempat kerja setiap hari kerana tidak memiliki kenderaan tular di media sosial.
Difahamkan, dia yang bertugas di Jabatan Kecemasan sebuah hospital di Jogjakarta, Indonesia berjalan kaki setiap hari dari rumah ke hospital.
Kisah tersebut mula mendapat perhatian selepas dirakam dan dikongsikan oleh pengguna TikTok, Momo Wikan, yang kebetulan menemuinya di jalanan pada waktu malam baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Jasad lelaki hanyut dibawa arus gemparkan penduduk Langat
Dalam pertemuan singkat itu, Momo terkejut apabila mengetahui bahawa pemuda bersahaja yang ditemuinya sebenarnya adalah seorang doktor yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Faza, yang berasal dari Sabang, Aceh, merupakan graduan Fakulti Perubatan Universiti Gadjah Mada (UGM) pada tahun 2023.
Kini, dia menjalani tugas sebagai pegawai perubatan dan masih kekal merendah diri walaupun menyandang gelaran profesional.
Dalam perbualan yang dirakam, Faza mendedahkan bahawa dia sudah lama berjalan kaki sejak zaman kuliahnya. Ketika ditanya mengapa tidak menaiki motosikal atau basikal, dia menjawab dengan jujur:
"Saya tak ada, bang," kata Faza sambil tersenyum.
Momo yang menyangka Faza sengaja memilih untuk berjalan kaki, terkejut dan bertanya semula:
"Oh, saya ingat memang sengaja nak jalan kaki?”
"Tak bang, memang tak ada,” jawab Faza bersahaja.
Apabila ditanya kenapa tidak membeli basikal terpakai, Faza mengakui beliau belum berkemampuan:
"Belum, bang," ujarnya ringkas.
Bukan sekadar seorang yang tabah, Faza turut dikenali sebagai individu yang kuat pegangan agamanya. Seorang rakannya di media sosial mendedahkan bahawa Faza bercita-cita untuk menjadi seorang hafiz al-Quran dan kini sedang belajar bahasa Jawa.
"Teuku Zanadi Aulia Faza, seorang doktor dari Sabang. Faza bercita-cita untuk menghafaz al-Quran dan belajar bahasa Jawa," tulis rakannya.
Setibanya di hospital, Faza meminta agar hanya diturunkan di pintu pagar. Beliau kemudian mengucapkan terima kasih dan memberi salam sebelum beredar.
"Semangat ya," kata Momo.
"Terima kasih, Assalamualaikum,” balas Faza sambil tersenyum.
"Waalaikumsalam," jawab Momo.
Kisah Faza yang penuh kesederhanaan dan nilai ketabahan ini menyentuh hati ribuan netizen. Ramai yang kagum dengan semangatnya dalam menunaikan tugas sebagai petugas barisan hadapan walaupun berdepan dengan kekangan hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram