
BIDANG kriminologi sering kali dianggap cabaran besar, terutama bagi wanita ekoran daripada isu stereotaip yang mengaitkan bidang ini dengan keperluan keberanian dan kekuatan fizikal telah menimbulkan halangan tersendiri.
Malah ada persepsi umum yang masih meragui kemampuan wanita dalam menganalisis isu-isu kompleks berkaitan jenayah berbanding dengan golongan lelaki.
Namun, bagi Pakar Kriminalogi, Nadiah Syariani Md Shariff, 37 tahun, cabaran itu tidak menghalangnya untuk terus memberikan sumbangan bermakna dalam bidang yang diminatinya sejak di universiti.
BACA LAGI : Tiada istilah vape lebih selamat, kesan nikotin risiko lahir anak pramatang, organ bayi rosak — Pakar
BACA LAGI : Awas ibu bapa, Roblox kini jadi 'lubuk' golongan pedofil
Bagi anak jati Johor itu, penglibatan wanita dalam bidang kriminalogi adalah sangat penting dalam membanteras apa jua jenayah di dalam negara.
Beliau juga percaya bahawa wanita mempunyai peranan penting dalam sub-kepakaran yang melibatkan kanak-kanak, wanita, dan pemangsaan jenayah.
"Wanita mempunyai kelebihan dalam aspek komunikasi dan pendidikan awam, yang sangat diperlukan dalam bidang ini," katanya ketika ditemubual Majoriti baru-baru ini.
Nadiah Syariani
Minat kerjaya kriminalogi
Bercerita lanjut, Nadiah yang bertugas sebagai pensyarah di Management & Science University (MSU) berkata, beliau mula berminat dalam bidang dalam kriminologi ketika mengambil subjek Kriminologi dan Psikologi Forensik semasa pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
"Walaupun bidang kriminologi masih baru ketika itu, saya memilih untuk mendalami bidang ini kerana minat yang kuat terhadap tingkah laku manusia di luar makmal.
"Saya lebih tertarik dengan tingkah laku manusia di luar makmal walaupun bidang forensik lebih popular dalam analisis kimia," ujarnya.
Cabaran
Walaupun terdapat perkembangan positif yang menunjukkan peningkatan sokongan dan inisiatif untuk memperkasakan wanita dalam kriminologi, Nadiah tidak menafikan ada cabaran yang dihadapinya.
"Kekurangan pakar kriminologi di Malaysia adalah antara kekangan utama dan bidang ini juga didominasi oleh lelaki. Bidang ini juga masih baru dan banyak sub-kepakaran yang perlu diterokai.
"Selain cabaran persepsi, kewujudan saya sering kali kurang disedari kerana bertubuh kecil, dan kadang-kadang, saya perlu lebih proaktif dalam memperkenalkan diri dan berkongsi pandangan
"Pada masa sama, sebagai wanita, saya perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri, ibu, dan pensyarah," jelas beliau yang yakin bahawa masa depan bidang kriminologi di Malaysia cerah, terutamanya dengan peningkatan penyertaan wanita.
Penglibatan bersama pihak berkuasa
Nadiah (kanan) bersama Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan.
Sepanjang menceburkan diri dalam kerjaya tersebut, Nadiah banyak terlibat dalam perbincangan meja bulat dengan pihak berkuasa.
Khidmat beliau sering kali diperlukan dalam memberikan cadangan strategik dalam pembangunan dasar pencegahan jenayah.
Salah satu kes yang paling memberi kesan kepada Nadiah adalah kes remaja yang membunuh rakannya kerana gagal mengawal kemarahan.
"Kes ini menyedarkan saya betapa pentingnya pencegahan jenayah bermula dari usia kanak-kanak," katanya.
Pengalaman itu mendorongnya untuk lebih terlibat dalam pencegahan jenayah secara proaktif dan reaktif, termasuk kesedaran dan pendidikan awam serta pembangunan modul rehabilitasi bagi mengurangkan kadar jenayah.
Sokongan keluarga
Nadiah (kiri) berharap agar lebih ramai wanita akan menceburi bidang kriminologi.
Nadiah juga mengakui bahawa sokongan keluarga adalah faktor utama yang membantunya bertahan dalam bidang tersebut.
"Saya tidak mungkin mampu mengimbangi semua tanggungjawab tanpa sokongan suami dan keluarga," katanya.
Beliau juga menekankan pentingnya niat yang ikhlas dan minat yang mendalam untuk terus berjaya dalam bidang kriminologi.
Dalam pada itu, Nadiah menjadikan Profesor Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat sebagai idola dalam bidang kriminalogi.
"Dr. Geshina merupakan pakar kriminologi wanita pertama di Malaysia.
"Beliau adalah idola dan mentor saya dan beliau banyak membimbing saya bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam aspek kehidupan," kata Nadiah yang mengagumi keberanian dan kebijaksanaan Dr. Geshina.
Menutup bicara, beliau berharap agar lebih ramai wanita akan menceburi bidang kriminologi.
Kepada wanita muda yang berminat untuk menceburi bidang kriminologi, Nadiah menasihati mereka untuk memastikan minat dan tujuan yang jelas.
"Pastikan anda tahu sebab utama anda menceburi bidang ini.
"Dengan niat yang betul, anda boleh memberikan sumbangan yang bermakna bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masyarakat," pesannya kepada generasi muda.
Kisah Nadiah kini menjadi inspirasi, membuka ruang dan mencipta peluang bagi wanita untuk meneroka dan berjaya dalam bidang kriminologi yang masih baru di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram