
SEORANG penunggang motosikal berdepan detik cemas apabila dilanggar sebuah kereta secara tiba-tiba di Simpang Tiga Ulu Choh, Gelang Patah, Johor pada Khamis.
Menerusi video tular di media sosia sejak Jumaat, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggu lampu isyarat yang sedang merah.
Dalam video sama, mangsa pada awalnya memberhentikan motosikalnya di barisan hadapan.
Beberapa saat kemudian, sebuah kereta dilihat datang dari arah bertentangan melanggar tayar motosikal mangsa.
Ia sekali gus menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terpelanting ke belakang dan terjatuh.
Mangsa bagaimanapun sempat bangun dan duduk kembali di atas motosikalnya.
Namun, keadaan mangsa tidak dapat dipastikan sama ada terdapat kecederaan parah serta kerosakan pada motosikalnya.
Susulan kejadian itu, rata-rata warganet mendakwa pemandu kereta terbabit berkemungkinan bermain telefon pintar sehingga menyebabkannya kurang peka untuk mengelak penunggang motosikal tersebut.
"Simpang tu boleh belok kanankah? Pemandu yang langgar kemungkinan sibuk dengan telefon mungkin," komen Ahmad Kamil.
"Gara-gara main telefon semasa memandu, ini lah akibatnya," dakwa Jack Labu.
"Dan apa yang paling meruntun hati adalah penunggang itu tengah berhenti ikut peraturan, tapi tetap jadi mangsa," kata MelakaFirst.
Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram