
TIGA pelajar wanita beragama Islam menerima pampasan sebanyak AS$75,000 (kira-kira RM331,000) selepas diganggu secara lisan oleh seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat di sebuah tempat letak kereta pusat beli-belah di Alpharetta, Georgia, Amerika Syarikat pada 31 Mac lepas.
Kejadian itu menjadi tular selepas video menunjukkan lelaki terbabit, Perry Greene menghampiri mereka dengan menaiki Tesla Cybertruck dan mengeluarkan kata-kata menghina termasuk menuduh mereka menyembah 'Tuhan palsu'.
Tidak hanya itu, Perry turut mengarahkan mereka pulang ke negara asal, walaupun ketiga-tiga wanita itu merupakan rakyat Amerika Syarikat yang lahir dan dibesarkan di Georgia.
BACA LAGI: Rose Blackpink tersenarai 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia 2025 Majalah TIME
After this video went viral of this man’s interaction with 3 Muslim women, Perry Greene is apologizing. He is the ex-husband of US Rep. Marjorie Taylor Greene. He says “hopefully the women find it in their hearts to accept my apology” @FOX5Atlanta pic.twitter.com/GiXILYLeIu
— Eric Perry (@Ericperrytv) April 4, 2025
Dalam video tersebut, Perry turut dilihat bertanyakan asal-usul mereka dengan nada mencurigakan, sebelum mengekori mereka dengan kenderaannya sehingga ke pintu masuk pusat beli-belah.
Insiden yang mendapat perhatian ramai itu akhirnya membawa kepada penyelesaian luar mahkamah.
Perry Greene yang juga merupakan bekas suami kepada Ahli Kongres AS, Marjorie Taylor Greene menghubungi peguam ketiga-tiga wanita tersebut beberapa hari selepas kejadian bagi menyatakan niatnya untuk memohon maaf.
Beliau kemudian tampil secara terbuka di Masjid Jafar dan Pusat Komuniti Al-Rahmah di Johns Creek untuk menyampaikan permohonan maaf secara langsung kepada mangsa.
“Tiada sesiapa yang patut dilayan sebegitu. Saya kesal dengan perbuatan saya dan datang untuk memohon maaf dengan sepenuh hati," katanya yang menyesali perlakuannya sendiri.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut, Perry bersetuju membayar pampasan AS$75,000.
Ketiga-tiga wanita itu menyatakan bahawa wang tersebut akan disumbangkan sepenuhnya kepada masjid tempatan sebagai tanda sokongan kepada komuniti mereka.
Sementara itu, Polis Alpharetta mengecam insiden tersebut dan menyifatkan kenyataan Perry sebagai menjijikkan serta bertentangan dengan nilai masyarakat.
Namun, selepas meneliti bukti yang ada, pihak berkuasa memutuskan bahawa tiada kesalahan jenayah berlaku kerana perlakuan itu masih dilindungi di bawah kebebasan bersuara.
“Dalam komuniti kami, semua bentuk pertuturan dilindungi termasuk yang tidak kami persetujui,” kata polis dalam satu kenyataan rasmi.
Ketiga-tiga pelajar wanita tersebut menyatakan bahawa pengalaman pahit itu tidak melemahkan semangat, sebaliknya menguatkan lagi pegangan mereka terhadap agama.
“Ini adalah identiti kami. Ini kepercayaan kami. Kami akan tetap berdiri teguh walaupun ada yang menghina,” katanya.
Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) Georgia memuji keberanian wanita-wanita itu dan menyifatkan penyelesaian itu sebagai satu isyarat penting bahawa kebencian tidak boleh dibiarkan berleluasa tanpa akibat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram