
SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menafikan gangguan bekalan air yang berlaku di Kompleks UniCITI Alam (KPUA), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dekat Sungai Chuchuh,Perlis bukan disebabkan oleh tekanan paip utama milik Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
Sebaliknya, menurut kenyataan SPAN, siasatan mendapati punca gangguan berpunca daripada sistem perpaipan dalaman premis universiti berkenaan.
"Hasil siasatan yang dijalankan oleh SAP pada 11 April dan pertemuan bersama pengurusan UNIMAP pada 14 April susulan aduan diterima mendapati tekanan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi paras minimum yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
SPAN turut menjelaskan bahawa hanya sebahagian daripada enam blok kolej kediaman di kompleks berkenaan yang terjejas, iaitu selepas meter pengguna.
Justeru, isu tersebut menjadi tanggungjawab pihak pemilik atau pemaju premis.
Bagaimanapun, SAP tetap mengambil langkah proaktif bagi membantu menangani isu berkenaan.
"SAP melakukan pintasan sementara untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan terus ke blok-blok terjejas tanpa melalui meter utama.
"Di samping itu, bekalan air turut dihantar menggunakan lori tangki dan air turut dipam ke dalam tangki sedia ada," jelas SPAN.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 48 saat memaparkan sekumpulan pelajar UNIMAP melancarkan mogok susulan gangguan bekalan air yang didakwa berlarutan hampir dua minggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram