
SEORANG pengurus tapak yang didakwa menetak lelaki di sebuah kompleks beli-belah di Seremban, Negeri Sembilan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat.
Tertuduh, R. Suresh Khanna, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.
Dalam prosiding itu, tertuduh juga didakwa menggunakan parang untuk menetak B. Nagarajah, 40, ketika berada di sebuah premis di tingkat satu kompleks berkenaan pada Isnin lalu.
BACA LAGI : [VIDEO] Tiga penjenayah ‘wanted’ dicekup kurang 24 jam susulan tetak di Seremban, ada rekod kes bunuh
BACA LAGI : [VIDEO] Akibat dendam, lelaki ditetak, dilibas parang dalam pusat beli-belah Seremban
Tangkap layar video memaparkan mangsa dilibas berulang kali dengan parang oleh seorang daripada suspek di pusat beli belah berkenaan.
Suresh kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah mengggunakan senjata tajam.
Tertuduh juga boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau rotan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan yang serius.
Peguam bela, Thayalan Moorthy pula berkata, walaupun ia bukan kesalahan yang boleh dijamin, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkannya.
Beliau berkata, tertuduh juga menghidap beberapa penyakit dan juga terpaksa menyara tiga anaknya.
"Dia mempunyai alamat tetap di Port Dickson, Negeri Sembilan serta pekerjaan tetap dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
"Adalah menjadi harapan saya jika dia diberi jaminan rendah kerana bukan risiko penerbangan," katanya.
Thayalan berkata, tertuduh juga mempunyai temu janji hospital minggu depan dan sudah menyerah diri kepada polis berikutan kejadian itu untuk membantu siasatan.
Hakim Surita kemudian menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut memberitahu tertuduh supaya tidak menghubungi saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah jika ada.
Surita juga menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang lelaki parah selepas diserang sekumpulan lelaki dipercayai akibat dendam.
Mangsa dilibas berulang kali dengan parang oleh seorang daripada suspek di pusat beli belah berkenaan. — The Star/SARBAN SINGH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram