
BANGUNAN Menara Kuala Lumpur kini ditutup buat sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dijalankan bermula Khamis.
Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa bermula 1 April lalu, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).
Pihaknya bagaimanapun menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Elak risiko keselamatan, jemaah umrah jangan suka-suka bawa balik pasir dari Makkah
Menurutnya, penutupan itu sehingga tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur pula diumumkan melalui pelbagai saluran media.
"Pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
"Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 April 2025 dan 9 April 2025.
"Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kementerian itu juga berkata, keputusan tersebut diambil demi keselamatan dan keselesaan pengunjung serta bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram